Wanita didakwa lacur diri di Terengganu tetap dipenjarakan


IBU tunggal yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan sebatan kerana melacurkan diri di Terengganu pada bulan lepas terpaksa terus berada dalam penjara meskipun memperoleh penangguhan kerana gagal mengemukakan tiga penjamin.

Peguamnya, Che Nur Intan Nazuha Che Mohd Norudi memberitahu The Malaysian Insight wanita terbabit berjaya mengumpul RM4,500 menerusi crowdfunding.

“Tetapi dia gagal mendapatkan tiga penjamin seperti yang dikehendaki oleh Hakim Rosdi Harun dari Mahkamah Syariah Kuala Terengganu,” kata peguam itu.

“Saya berhujah dengan hakim yang dia bukan orang Terengganu dan dia datang dari keluarga yang berantakan. Adik-beradiknya tak banyak membantu tetapi hakim tetap mahukan tiga penjamin.”

Wanita berusia 30 tahun itu berasal dari Selangor.

Peguamnya mendedahkan hanya dua daripada adik-beradik perempuan wanita tersebut yang bersetuju mahu menjadi penjamin manakala seorang daripada adik-beradik lelakinya enggan membantu. Seorang lagi tidak dimaklumkan mengenai apa yang telah berlaku.

“Saya diberitahu yang abangnya panas baran dan dia mungkin akan berdepan masalah besar kalau abangya dapat tahu tentang hal ini,” kata Che Nur Intan Nazuha.

Menurut laporan, ibu tunggal berkenaan didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu kerana melacurkan diri yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, atau denda tidak lebih RM5,000, atau enam sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

Bulan lepas, Hakim Syariah Rosdi menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan terhadap ibu tunggal itu.

Wanita berkenaan melacurkan diri untuk menyara kehidupan selepas bekas suami enggan memberi nafkah untuk anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun.

Susulan hukuman yang dijatuhkan itu, seorang wartawan The New Straits Times, Farah Adilla Radin melancarkan kempen “Go Get Funding” bagi membantu wanita itu membayar yuran guaman.  – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen