Hungary laksana undang-undang haram gelandangan


Seorang pegawai kerajaan berkata polis kini diberi kuasa untuk menghalau gelandangan serta merobohkan pondok mereka. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2018.

HUNGARY mengharamkam tidur di jalanan mulai hari ini selepas kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Viktor Orban mengenakan undang-undang mengharam gelandangan yang disifatkan kejam oleh pengkritik.

Pindaan Perlembagaan diluluskan oleh Parlimen Budapest pada 20 Jun bagi menambah baik undang-undang pada 2013, mengharamkan aktiviti gelandangan di tempat awam.

Seorang pegawai kerajaan berkata polis kini diberi kuasa untuk menghalau gelandangan serta merobohkan pondok mereka dan undang-undang itu adalah demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

“Ia bermatlamat untuk memastikan gelandangan tidak berada di jalanan pada waktu malam dan supaya rakyat dapat menggunakan ruang awam tanpa halangan,” kata Attila Fulop.

Dianggarkan 11,000 tempat perlindungan gelandangan diuruskan oleh negeri, namun menurut pakar sekurang-kurangnya 20,000 orang tidak berumah di seluruh Hungary.

Meskipun kerajaan berkata pembiayaan bagi gelandangan sedang ditingkatkan untuk rumah-rumah perlindungan ini tetapi organisasi antarabangsa dan kumpulan hak asasi tempatan mengutuk undang-undang baharu itu.

Pada Jun, pakar perumahan PBB, Leilani Farha menggelar undang-undang tersebut sebagai kejam dan bertentangan dengan undang-undang hak asasi antarabangsa.

“Jenayah apa yang orang-orang ini lakukan? Hanya berusaha untuk terus hidup,” kata Farha dalam sepucuk surat terbuka untuk kepada kerajaan.

Bulan lepas, Parlimen Eropah mengundi untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Budapest selepas MEP melaporkan antara lain tindakan Hungary ke atas gelandangan “jelas melanggar” nilai-nilai Kesatuan Eropah dengan serius. – AFP, 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen