Pendengaran petisyen bantah keputusan pilihan raya Cameroon pada Khamis


Menurut badan pilihan raya Cameroon, Elecam, sejumlah 25 petisyen telah difailkan oleh calon dan pengundi yang menuntut agar pilihan raya itu sama ada dibatalkan sebahagian atau sepenuhnya. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2018.

MAJLIS Perlembagaan Cameroon akan memulakan pendengaran petisyen beberapa calon parti pembangkang dan pengundi, yang menuntut agar pilihan raya presiden 7 Oktober dibatalkan, pada Khamis, kata Setiausaha Agungnya Malego Joseph Asse dalam satu kenyataan.

Prosiding itu akan bermula pada pukul 11 pagi waktu tempatan di ibu negara Yaounde.

Menurut badan pilihan raya Cameroon, Elecam, sejumlah 25 petisyen telah difailkan oleh calon dan pengundi yang menuntut agar pilihan raya itu sama ada dibatalkan sebahagian atau sepenuhnya.

Calon presiden termasuk Joshua Osih daripada parti pembangkang utama Barisan Demokratik Sosial (SDF), Maurice Kamto daripada Gerakan Renaisans Cameroon (CRM) dan Cabral Libii daripada UNIVERS, mendakwa antara lain terdapat “penyelewengan” dan “sikap tidak mengendahkan undang-undang pilihan raya” sepanjang pemerhatian pasukan mereka semasa pengundian.

Mengikut Kod Pilihan Raya Cameroon, Majlis Perlembagaan dijangka mengumumkan keputusan akhir pemilihan pada 22 Oktober.

Pada Jumaat, Pengerusi Elecam, Enow Abrams Egbe meminta calon bertenang memandangkan negara itu masih menanti keputusan akhir pilihan raya tersebut. – Bernama, 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen