Erdogan bincang dengan Raja Salman berhubung kehilangan wartawan  


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengalu-alukan kumpulan kerjasama bagi menyiasat kehilangan wartawan Jamal Khashoggi yang dicadangkan Arab Saudi. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2018

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja Arab Saudi, Raja Salman mengadakan perbincangan berhubung kes kehilangan wartawan Jamal Khashoggi pada Ahad menerusi panggilan telefon pertama berkenaan kontroversi itu, menurut kedua belah pihak. 

Erdogan dan Salman membincangkan isu berkenaan serta menyatakan kepentingan mewujudkan kumpulan kerjasama dalam penyiasatan,” kata sumber presiden Turki, yang enggan dinamakan. 

Ankara sebelum ini berkata kumpulan kerjasama itu akan ditubuhkan sejajar dengan cadangan Arab Saudi. Namun beberapa butiran tersebar mengenai bagaimana ia akan berfungsi. 

Kementerian Luar Arab Saudi berkata Salman mengesahkan negaranya mempunyai hubungan “kukuh” dengan Turki dalam perbualan telefon dengan Erdogan. 

Raja berkenaan menghubungi Erdogan “untuk berterima kasih kepada presiden itu kerana mengalu-alukan cadangan kumpulan kerjasama bagi membincangkan kehilangan Jamal Khashoggi.”

Salman turut menyatakan kepentingan hubungan Turki-Arab Saudi dan berkata tiada siapa yang dapat “menggugat kekuatan hubungan ini,” tambahnya. 

Khashoggi dilaporkan hilang selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober. 

Pihak berkuasa Turki berkata pihaknya percaya Jamal dibunuh di dalam konsulat berkenaan dan dakwaan itu disiarkan media Turki. Namun Arab Saudi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan. 

Sementara itu, Erdogan bertindak dengan berhai-hati dalam kontroversi itu, menyatakan kebimbangannya namun menghentikan dakwaan menuduh Riyadh. – AFP, 15 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen