ARAB Saudi memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang sekatan yang dikenakan berhubung kehilangan wartawan Jamal Khashoggi, berikutan pasaran saham yang menjunam dan pelabur terjejas meningkat.
Syarikat gergasi media, yang merupakan syarikat dari Barat, mula menjauhkan diri daripada negara Teluk itu, sekaligus mengancam pembaharuan ekonomi yang dibuat Putera Mahkota Mohammed Salman.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam Arab Saudi yang merupakan sekutunya dengan “hukuman berat” sekiranya Khashoggi, yang lantang mengkritik Putera Mohammed, dibunuh di Istanbul.
Namun Riyadh membalas kenyataan itu dan mengatakan akan bertindak balas terhadap sebarang langkah punitif yang dikenakan ke atasnya.
“Negara ini menolak sebarang cubaan atau ancaman tanpa mengira sama ada ancaman untuk mengenakan sekatan ekonomi atau menggunakan tekanan politik,” menurut kenyataan rasmi negara itu, yang dipetik oleh agensi berita SPA.
Katanya, Riyadh akan “memberi tindak balas lebih besar ke atas sebarang tindakan”, dan menyatakan negara pengeluar minyak itu “memainkan peranan besar dalam ekonomi dunia.”.
Menurut stesen TV Al Arabiya, negara berkenaan mempunyai “lebih 30 langkah” yang akan dilaksanakan bagi memerangi sebarang sekatan.
Ia termasuk menggunakan julan minyak dan senjata, ertukaran maklumat antara Washingon dan Riyadh, dan kemungkinan perdamaian dengan Iran, menurut laporan itu.
Berikutan kenyataan Riyadh yang akan bertindak terhadap sebarang sekatan, Britain, Perancis dan Jerman mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka memandang kehilangan Khashoggi “dengan serius”.
“Perlu ada siasatan yang boleh dipercayai bagi menentukan kebenaran tentang apa yang berlaku, dan—sekiranya relevan—untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kehilangan Jamal Khashoggi, dan memastikan ia dijalankan dengan telus.”
Kenyataan berkenaan ditujukan “terus kepada pihak berkuasa Arab Saudi”, menurut kenyataan yang dtandatangani menteri luar Britain Jeremy Hunt, rakan sejawatnya dari Perancis Jean-Yves Le Drian dan Heiko Mass dari Jerman. – AFP, 15 Oktober, 2018
Komen