Umno kembali ke Parlimen dengan lebih berstruktur, sedia imbangi Pakatan


SM Amin

Dengan wujudnya JKP ini, kerajaan PH tidak boleh lagi mengambil mudah dengan hujahan isu-isu yang dibawa oleh parti-parti pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

SELEPAS berehat panjang, Umno yang mengetuai barisan pembangkang kembali ke sidang Dewan Rakyat dengan lebih tersusun menerusi sistem ‘Kabinet bayangan’ untuk imbang dan semak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sistem Kabinet bayangan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Portfolio (JKP) itu dilaksanakan susulan penampilan kurang memberangsangkan Umno sebagai pembangkang pada pusingan pertama sidang Parlimen sebelum ini.

Dengan wujudnya JKP ini, kerajaan PH tidak boleh lagi mengambil mudah dengan hujahan isu-isu yang dibawa oleh parti-parti pembangkang.

JKP itu dipecahkan kepada empat kluster iaitu Kluster Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang, Sumber Manusia dan Keselamatan yang dianggotai antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Razaleigh Hamzah, Shahidan Kassim dan Hishammuddin Hussein.

Kluster kedua merupakan Kewangan, Ekonomi dan Industri, antaranya dengan JKP Kewangan melibatkan Khairy Jamaluddin dan Arthur Joseph Kurup. 

Kluster ketiga ialah Pendidikan, Sosial dan Budaya dan Kluster keempat ialah JKP Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan dengan JKP Komunikasi dan Multimedia yang dibarisi oleh Shamsul Anuar Nasarah dan Zahidi Zainul Abidin.

Zahid Hamidi diletakkan dalam Kluster Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang, Sumber Manusia dan Keselamatan bersama Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Razaleigh Hamzah, Shahidan Kassim dan Hishammuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Bagi Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin, beliau menjangkakan isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi topik hangat diperdebatkan dalam sidang Dewan Rakyat memandangkan Bajet 2019 akan dibentangkan pada sesi kali ini.

Jelasnya, selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, keadaan ekonomi negara semakin menggusarkan dengan keputusan ‘flip flop’ (tidak tetap) kerajaan yang tidak lagi menyakinkan pelabur.

“Isu ekonomi akan menjadi fokus sebab kita merasakan ekonomi negara berada dalam keadaan ketidaktentuan selepas PH ambil alih kerajaan.

“Bila ekonomi tidak bagus, masyarakat terutamanya di luar bandar akan terkesan teruk dengan harga getah dan kelapa sawit yang rendah.

“Kita perlu mencari ikthiar bagaimana kerajaan dapat membantu golongan ini,” kata bekas pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) itu.

Selain itu kata Zahidi, prestasi anggota Kabinet juga akan dibangkitkan supaya kelemahan yang ada dapat diperbaiki segera agar rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Mana keputusan yang bagus kita kena puji, yang tidak bagus kita kena tegur. Dan kita juga hendak lihat bagaimana calon perdana menteri paling lama Anwar Ibrahim bertindak menangani isu-isu berbangkit,” katanya.

Peranan Khairy Jamaluddin dalam JKP juga dilihat penting apabila akan mengetuai penggubalan belanjawan alternatif bagi menyaingi dasar PH yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd dalam Bajet 2019 pada 2 November depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Ahli Parlimen Jasin Ahmad Hamzah berpendapat dengan wujudnya sistem JKP, tugas ahli Parlimen pembangkang kini lebih jelas kerana masing-masing telah diberikan peranan terhadap isu-isu yang mereka perlu fokus.

Biarpun berhadapan dengan defisit kepercayaan dan sukar untuk diterima secara drastik sebagai pembangkang yang berwibawa oleh rakyat, Ahmad berkata pembangkang perlu bangkit dan tampil sebagai pembangkang yang konstruktif untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan PH terutama di Parlimen.

“Kita telah diberikan tugas masing-masing untuk saling membantu. Kita mahu menjadi pembangkang yang konstruktif untuk semak dan imbang apa yang dilakukan oleh kerajaan.

“Kita akan buat persiapan, penyelidikan isu-isu yang berbangkit supaya nasib rakyat dapat dipertahankan. Bukan hanya membangkang sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas Fadhli Shaari berpendapat tiada keperluan untuk parti itu bersama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kabinet bayangan.

“Saya secara peribadi tidak nampak keperluan berkenaan. PAS dan BN bukan berada di dalam satu kelompok parti komponen sehingga mewujudkan keperluan untuk turut berada di dalam Kabinet bayangan yang diwujudkan,” katanya.

Bagaimanapun kata Fadhli, PAS tetap akan bersama-sama memberi tumpuan kepada perbahasan Bajet 2019 yang merupakan bajet pertama PH kerana kerajaan tidak serius untuk melaksanakan manifesto mereka selepas berjaya menakluk Putrajaya.

“Selepas kemenangan PH pada PRU14, wujud kenyataan-kenyataan pimpinan kerajaan lebih menjurus kepada mengelakkan diri daripada melaksanakan manifesto berkenaan kononnya atas alasan kekurangan maklumat semasa merangka manifesto. 

“Sewajarnya bajet ini akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memberikan kebajikan kepada rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas Fadhli Shaari berpendapat hujahan daripada ahli Kabinet amat lemah dan kurang berfakta jika hendak dibandingkan dengan perbahasan daripada bekas menteri yang kini menjadi pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Berdasarkan pengalaman dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Fadhli berkata beliau mendapati hujahan daripada ahli Kabinet amat lemah dan kurang berfakta jika hendak dibandingkan dengan perbahasan daripada bekas menteri yang kini menjadi pembangkang.

Justeru beliau mengharapkan sesi kali ini, jemaah menteri dapat menangani perkara itu kerana mereka yang sudah dipertanggungjawabkan untuk memikul portfolio masing-masing wajib memahami sepenuhnya tugas yang dipikul. 

“Dapat disaksikan bagaimana perbahasan daripada bekas-bekas menteri yang kini berada di kerusi pembangkang lebih berfakta dan bermaklumat jika dibandingkan dengan menteri-menteri baharu.

“Adalah boleh diterima jika jemaah menteri beralasan bahawa mereka masih baru di kerusi berkenaan, namun tempoh 5 bulan selepas pilihan raya umum sewajarnya sudah cukup untuk memberikan ruang kepada mereka memahami secara terperinci bidang tugas masing-masing,” ujarnya.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi JKP Kewangan akan mengetuai penggubalan belanjawan alternatif bagi menyaingi dasar PH yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd dalam Bajet 2019 pada 2 November depan. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen