Israel lulus penempatan haram baharu di Tebing Barat


Askar Israel berkawal di kawasan penempatan haram Yahudi di Hebron, Tebing Barat. – Gambar fail EPA, 14 Oktober, 2018.

KERAJAAN Israel hari ini meluluskan pembinaan 31 penempatan haram di Hebron, kelulusan pertama di Tebing Barat sejak 2002, kata Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman.

Pemberian permit pembinaan telah dipersetujui pada Oktober tahun lalu tetapi memerlukan kelulusan kerajaan, lapor pertubuhan Peace Now yang memantau aktiviti pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin yang dijajah Israel.

“Buat pertama kali dalam tempoh lebih 20 tahun, Hebron akan memiliki penempatan Yahudi baharu di lokasi yang pernah digunakan sebagai kem tentera,” kata Lieberman.

“Pembinaan ini merupakan langkah penting untuk memastikan penempatan semula dibina di Judea dan Samaria,” katanya merujuk kepada Tebing Barat.

Hebron menyaksikan banyak pertumpahan darah berlaku antara penduduk Palestin dan tentera Israel yang menjajah bandar itu sejak puluhan tahun lalu.

Bandar itu didiami kira-kira 200,000 penduduk Palestin bersama 800 pendatang haram Yahudi yang dilindungi tentera Israel.

Penempatan baharu tersebut akan dibina di Jalan Shuhada, lokasi popular sebagai pusat beli-belah.

Kawasan itu kini ditutup kepada penduduk Palestin yang berulang kali ia dibuka semula kepada trafik.

Lokasi itu dijajah pada 1980-an oleh tentera Israel yang membina kem tentera bagi melindungi pendatang haram Yahudi di Hebron. – AFP, 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen