SEKURANG-kurangnya lima pendatang lemas manakala 50 lagi hilang pada Khamis selepas penyeludup memaksa 180 warga Afrika keluar daripada bot yang menuju ke Yaman, sehari selepas insiden yang sama menyebabkan 50 terbunuh, kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).
25 orang dirawat kerana cedera di pantai Yaman di Laut Merah, kata agensi migrasi PBB, yang masih belum mengenal pasti kerakyatan mangsa terlibat.
Pada Rabu, penyeludup manusia turut memaksa 120 warga Somalia dan Etiopia terjun ke laut yang bergelora di perairan Yaman bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa tempatan, menyebabkan 50 maut manakala 22 lagi hilang, kata IOM.
Pasukan IOM, yang bekerjasama dengan wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, menemui mayat 29 mangsa di perkuburan cetek sepanjang pantai daerah Shabwa di selatan Yaman. Mereka dikebumikan mangsa yang terselamat.
Rata-rata umur mangsa adalah 16 tahun.
Yaman yang merupakan negara paling miskin di dunia Arab dikategorikan PBB sebagai “krisis kemanusiaan terbesar di dunia”.
Peperangan yang kejam sejak Mac 2015 antara tentera yang disokong kerajaan Arab Saudi dengan pemberontak Huthi yang bersekutu dengan Iran menyebabkan penularan wabak taun menyebabkan 10,300 orang maut. – AFP, 10 Ogos, 2017.
Komen