18 askar Aghanistan maut dalam serangan Taliban


SEKURANG-KURANGNYA 18 askar maut dalam serangan hendap militan Taliban di dua pos kawalan tentera di barat Afghanistan hari ini menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Seramai 15 askar turut ditawan manakala lima lagi cedera semasa serangan itu dilancarkan oleh sejumlah besar militan Taliban di daerah Pusht-a-Rud, wilayah Farah, kata pegawai kerajaan wilayah itu, Farid Bakhtawar.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Ghafoor Ahmad Jawed berkata pasukan bantuan telah dihantar ke lokasi serangan.

“Taliban turut mengalami jumlah korban yang besar,” katanya.

Kumpulan militan itu turut merampas senjata dan kenderaan berperisai dalam serangan itu.

Keganasan yang ada kaitan dengan musim pilihan raya menyebabkan ramai orang terbunuh dan cedera, kurang seminggu sesi pengundian diadakan di seluruh negara.

Semalam, sebuah motosikal diletupkan ketika penyokong calon wanita bagi wilayah Takhar, Nazifa Yousefibek, menyebabkan 22 orang terbunuh dan 36 mangsa lagi cedera, kebanyakannya orang awam.

Di wilayah Herat, dua lelaki bersenjata menyerang pejabat kempen seorang calon di daerah Injeel, menyebabkan dua orang terbunuh. – AFP, 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen