PRESIDEN Iran Hassan Rouhani menyifatkan Amerika Syarikat (AS) telah kalah kepada negara republik Islam itu apabila berundur daripada perjanjian nuklear antara Teheran dan enam negara kuasa besar dunia.
“Semua pihak tahu AS telah kalah secara undang-undang dan politik apabila mengabaikan pematuhan undang-undang dunia dan ia bermaksud kita (Iran) memperoleh kemenangan,” kata Hassan ketika berucap di Universiti Teheran hari ini.
“Terdapat segelintir negara di dunia yang menyifatkan tindakan AS berundur dari perjanjian nuklear itu sebagai tindakan yang bagus.
“Ada juga yang menyuarakan kekecewaan, begitu juga negara yang merasakan tindakan AS itu sebagai kesilapan dan tidak mengikut undang-undang.”
Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015 antara Iran dan enam kuasa dunia pada Mei dan menguatkuasakan semula sekatan ke atas Teheran.
AS dijangka melengkapkan sekatan semula ke atas Iran pada 5 November ini dengan menyasarkan sektor minyak dan bank pusat negara itu.
Bagaimanapun Rouhani berkata tiada perubahan akan berlaku ke atas Iran kerana AS telah mencuba segala tindakan untuk melemahkan negara tersebut.
Negara lain yang terlibat dalam perjanjian itu, Rusia, China, Britain, Perancis dan Jerman berusaha mahu memastikan perjanjian tersebut berjalan lancar walaupun pendirian mereka bakal terjejas ekoran sekatan AS ke atas Iran jika mereka meneruskan hubungan dengan republik tersebut. – AFP, 14 Oktober, 2018.
Komen