Bank Dunia tawar pinjaman bencana AS$1 bilion kepada Indonesia


Anggota penyelamat melihat keadaan rumah yang musnah akibat kejadian gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2018.

BANK Dunia menawarkan dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.17 bilion) kepada Indonesia selepas negara itu dilanda siri bencana alam termasuk gempa bumi dan tsunami yang mengorbankan ramai nyawa.

Ketua pegawai eksekutif bank itu, Kristalina Georgieva berkata dana itu disediakan selepas pihaknya mengadakan mesyuarat tahunan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di pulau Bali hari ini.

Gempa bumi berukuran 7.5 skala Richter mencetuskan tsunami di bandar Palu, Sulawesi pada 28 September lalu, mengakibatkan lebih 2,000 orang terbunuh dan ribuan lagi masih hilang.

Pasukan penyelamat telah menghentikan usaha mencari dan menyelamat kira-kira 5,000 mangsa yang hilang.

Georgieva berkata Bank Dunia menyediakan dana dalam bentuk pinjaman itu akan digunakan untuk proses membina semula kawasan yang terjejas dengan binaan yang lebih baik sebagai persediaan berdepan bencana yang sama pada masa akan datang.

“Bencana akan terus berlaku. Apa yang boleh kita sumbangkan adalah membuat binaan yang lebih baik supaya dapat mengurangkan kadar kematian dan kerosakan,” katanya.

Hampir 90,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ekoran bencara itu dan mereka dijangka kekal di pusat tersebut bagi tempoh dua tahun sebelum memiliki rumah semula.

Kumpulan misi kemanusiaan berkata masalah utama yang dihadapi buat masa ini adalah bekalan air bersih dan ubatan yang diperlukan kira-kira 200,000 mangsa bencana tersebut. – AFP, 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen