RIBUT yang membawa angin hampir 180 kilometer sejam melanda Portugal awal pagi ini mengakibatkan ratusan penduduk terputus kuasa elektrik.
Angin itu kemudian menghala ke Sepanyol dengan membawa hujan lebat, kata pihak berkuasa.
Wilayah di sekitar ibu negara Lisbon dan pusat bandar di Leiria dan Coimbra adalah yang paling teruk terkesan menyaksikan pokok-pokok rebah, kereta dan rumah yang rosak dan banjir di beberapa tempat dilaporkan.
Ekoran ketiadaan elektrik, puluhan orang meninggalkan rumah mereka demi keselamatan diri.
Ribut Leslie digelar badai “zombie” kerana ia pertama kali dibentuk pada 23 September, dan berlegar-legar melalui Lautan Atlantik selama berminggu-minggu.
Terdapat kebimbangan ia boleh menjadi ribut terburuk melanda rantau dalam 150 tahun, namun ribut angin itu menjadi lemah sebelum tiba di pantai Portugis pada awal hari ini.
“Ia merupakan ribut pasca tropika dan sekarang sudah jauh menuju ke utara negara ini,” kata ketua lembaga meteorologi Jorge Miranda kepada agensi berita Lusa.
“Walaupun masih hujan tetapi keadaannya akan kembali normal,” katanya.
Pihak berkuasa Portugal telah mengarahkan orang-orang yang tinggal di pantai itu untuk berada di dalam rumah ketika amaran angin kencang yang mencapai 176 kilometer sejam diumumkan.– AFP, 14 Oktober, 2018.
Komen