PEJUANG-pejuang tegar belum mula menarik diri dari zon penampan yang dirancang di barat laut Syria.
Ia dilaporkan pemantau dan wartawan AFP hari ini ketika tarikh akhir keluar dari kawasan itu ditetapkan esok.
Sekutu rejim Rusia dan penyokong pemberontak Turki bersetuju bulan lepas untuk menubuhkan zon bebas aktiviti senjata di sekitar wilayah barat laut Idlib bagi menghalang serangan rejim di rantau ini.
Di bawah perjanjian itu, kawasan berbentuk ladam kuda itu akan bebas dari senjata berat pada 10 Oktober dengan “pejuang radikal” dijadualkan keluar sebelum Isnin.
Walaupun tarikh akhir untuk mengeluarkan senjata berat telah dipenuhi tepat pada masanya, namun tidak ada petunjuk bahawa syarat kedua sedang dilaksanakan.
“Kami tidak memantau sebarang pengunduran pejuang jihadi di semua kawasan yang berada dalam zon penampan yang telah ditentukan,” kata kumpulan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain.
Wartawan AFP di Idlib juga mengatakan tidak ada puak pejuang tegar yang bergerak di mana-mana unit mereka dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Idlib dan zon pemberontakan itu dikuasai oleh pelbagai puak.
Kurang daripada separuh kawasan itu dikawal Front Pembebasan Kebangsaan (NLF) yang didukung Ankara, konglomerat pemberontak utama di sana.
Tetapi kawasan yang besar itu dikuasai Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah pasukan yang dipimpin bekas anggota Al-Qaeda, serta lebih banyak anggota jihadi seperti Hurras al-Deen dan Ansar al-Islam.
Pejuang-pejuang itu juga mengawal lebih daripada dua pertiga daripada zon penampang yang dirancang dan sepatutnya meninggalkannya pada hari Isnin.
Hurras al-Deen secara terbuka menolak perjanjian itu.
HTS, secara meluas dianggap sebagai kuasa yang paling kuat di kawasan itu, tidak memberi komen mengenai perjanjian tersebut tetapi secara senyap mematuhi tarikh akhir yang pertama dan menempatkan semula senjata beratnya di tempat lain.
Para pemerhati mengatakan bahawa untuk melaksanakan separuh kedua perjanjian itu adalah cabaran yang lebih mendesak.
Dalam laporan Omran Center baru-baru ini yang berpangkalan di Turki, pakar Nawar Oliver menyifatkan HTS yang bersetuju dengan usaha itu adalah peringkat cabaran paling besar.
“Jika HTS bertindak untuk melanggar perjanjian itu, ia akan membawa kepada satu daripada dua senario: sama ada Turki dan NLF melancarkan tindakan ketenteraan terhadap HTS, atau Rusia akan merebut peluang itu dengan sokongan rejim dan sekutunya untuk masuk ke Idlib, “katanya.
“Pengaruh langkah itu mungkin akan jadi besar,” katanya.– AFP,14 Oktober, 2018.
Komen