PEMUDA Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa siasatan dibuat terhadap Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) berhubung dakwaan beberapa “transaksi bayaran mencurigakan”.
Pemuda PH membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai bayaran itu dan menggesa pihak terbabit menyiasat sama ada berlaku penyelewengan atau ketirisan bayaran HDC kepada dua kontraktor sebanyak RM2.88 juta untuk kerja mengecat yang tidak wujud pada 12 unit rumah yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.
Tambahan pula, terdapat juga “bayaran pendahuluan tanpa kebenaran” sebanyak RM16.06 juta yang dibuat untuk kerja membaik pulih jalan raya di Sibu, di mana menurut laporan itu kerajaan negeri menanggung caj faedah RM1.77 juta.
“Jumlah itu RM20,73 juta dalam dana yang tidak dapat dikesan boleh digunakan untuk kepentingan rakyat,” kata Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii selepas membuat laporan.
Laporan audit itu turut menyatakan HDC membuat pembayaran sebanyak RM33.40 juta kepada pembekal tanpa sebarang pengesahan pegawai manakala enam baucer bayaran berjumlah RM20.77 juta juga tidak disokong sijil pembayaran.
“Penemuan ini adalah jelas isu pengurusan yang serius dan pengawasan kewangan yang longgar,” katanya yang juga pemgawai khas pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen.
Yii berakata laporan itu menyebut HDC, sebuah unit di bawah Kementerian Kewangan di mana Ketua Menteri Abang Johari Openg adalah menterinya tahun lalu, tidak bertanggungjawab dengan sumber kewangan negeri”.
“Bayangkan kesemua duit ini boleh digunakan untuk kepentingan rakyat.
“Semua sekolah yang usang boleh diperbaiki dan dinaik taraf, klinik kesihatan di kawasan luar bandar dan juga bantuan kewangan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini sebabnya kita hadir hari ini untuk membuat laporan bagi membantu dan memudahkan SPRM membuka kertas siasatan dan seseorang perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan pengurusan atas nama ketelusan dan tadbir urus yang baik,” kata Yii. – 10 Ogos, 2017.
Komen