PENGGUNA dadah yang dipenjarakan Bitoy Paras menyuarakan sokongannya terhadap perang membanteras dadah yang dilaksanakan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
Suara peminat Duterte itu jarang kedengaran ketika kempen Duterte itu menyebabkan wujud konflik di dalam negara itu.
“Duterte keras, mengatakan dia akan mahu perangi penagih ... Saya gembira dia melakukan itu,” katanya kepada AFP di penjara utama Manila, yang dipenuhi suspek kes dadah.
“Tetapi saya merasa tidak selesa dengan pembunuhan,” kata pemandu beca yang berusia 22 tahun, dengan menggunakan nama samaran.
Sokongan Paras itu mencerminkan pandangan jutaan rakyat Filipina, yang menyokong tindakan keras terhadap dadah namun membantah beribu pembunuhan yang dilakukan atas nama kempen tersebut.
Kempen memerangi dadah Duterte, membantu beliau mencapai puncak kuasa pada pertengahan 2016. Beliau berjanji untuk menghapuskan masyarakat narkotik dengan apa cara sekalipun.
Sejak itu, polis mengatakan mereka telah membunuh 4,854 pengguna dadah atau pembekalnya dengan alasan mempertahankan diri, manakala kumpulan hak asasi manusia menganggarkan jumlah sebenar sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada jumlah tersebut.
Mengikut kutipan suara terkini SWS, kempen itu masih mempunyai sokongan 78 peratus rakyat Filipina, satu angka yang tidak berubah dalam masa setahun.
Penyokong perang dadah kerap menunjukkan statistik ini sebagai bukti bahawa tindakan keras yang dikutuk di peringkat antarabangsa adalah kehendak rakyat.
Tetapi kutipan suara yang sama menunjukkan hampir 96 peratus penduduk negara itu menentang pembunuhan atas nama perang dadah tersebut, ia mengatakan bahawa suspek harus ditahan tanpa sebarang kematian.- AFP, 14 Oktober, 2018.
Komen