Angka kematian Taufan Michael meningkat 17 orang 


Seorang penduduk melalui kawasan runtuhan bangunan akibat Taufan Michael yang membadai Florida.– Gambar EPA, 14 Oktober, 2018

TIGA hari selepas Taufan Michael membadai Florida, pasukan penyelamat meningkatkan lagi usaha mencari mangsa di kawasan yang sukar ditembusi, dengan angka kematian meningkat kepada 17 orang, kata pihak berkuasa yang bertungkus lumus menghantar bantuan kepada mangsa yang kehilangan segala-galanya. 

Taufan kuat itu, yang dicatatkan sebagai ribut Kategori 4 pada Rabu, mengorbankan nyawa di empat negeri, namun setakat ini Florida menerima kerosakan paling teruk. 

Sebahagian besar kawasan berkenaan dilanda angin kuat dan hujan, dan lapan kematian akibat ribut berkenaan dilaporkan di Florida setakat ini. 

“Pantai Mexico musnah,” kata Gabenor Rick Scott merujuk kepada bandar yang paling kuat dilanda taufan yang disifatkan sebagai terkuat di Amerika Syarikat sejak beberapa dekad lalu. 

“Ia seperti zon perang,” katanya ketika melawat pekan yang dihuni 1,000 penduduk di Teluk Mexico. 

Pasukan penyelamat dengan anjing pengesan melakukan pencarian kemungkinan mangsa tertimbus dalam runtuhan. 

Media AS melaporkan satu kematian di pekan terbabit—mayat seorang warga emas ditemui beberapa ratus meter dari rumahnya. 

Ketua agensi pengurusan bencana FEMA, Brock Long menyatakan, angka kematian mungkin meningkat.

“Saya harap ia tidak naik mendadak. Tetapi saya ada sebab untuk percaya kita masih lagi belum sampai ke beberapa kawasan yang paling teruk terjejas,” katanya.

Pusat bantuan kerajaan dan swasta dibuka bagi menyediakan keperluan penting seperti bekalan makanan, air dan bantuan lain kepada penduduk yang terjejas akibat taufan itu. – AFP, 14 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen