PAKATAN Harapan (PH) tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada anggota parti untuk berkempen pada hari mengundi semasa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Fahmi mengakui terdapat beberapa aduan dan pihak parti sudah mengarahkan penyokong menghentikannya.
“Kami tidak keluarkan arahan pada anggota parti untuk berkempen, arahan untuk tidak berkempen telah dikeluarkan, kami ambil maklum kejadian tersebut, dan menganggapnya proses pendidikan untuk semua, termasuk aktivis parti, calon, dan orang ramai tentang tatatertib sewaktu berkempen,” katanya ketika sidang media di bilik gerakan utama PKR di Port Dickson, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menganggap aktivis parti dan penyokong perlu menjalani proses pendidikan dan tatatertib ketika berkempen.
Fahmi turut menegaskan PH juga tidak menggunakan jentera kerajaan dalam proses berkempen.
Sementara itu, ketika proses pengundian berlangsung, penyokong calon bebas Mohd Isa Samad diarahkan berhenti mengedarkan botol air dengan gambarnya di pusat pengundian SK Telok Kemang di Port Dickson hari ini.
Mereka kemudiannya terpaksa membuang pembungkus yang mempunyai gambar wajah Isa sebelum menyerahkan botol air itu kembali.
Penyokong Isa juga berpindah dari pusat mengundi dan mengedarkan botol air di sebuah hentian bas di hadapan sekolah tersebut. – 13 Oktober, 2018.
Komen