Rumah keluarga rakyat Palestin yang menyerang Israel dirobohkan


Ketegangan semakin memuncak di kawasan Masjid Al-Aqsa selepas serangan dilakukan pihak tertentu di Palestin membunuh dua anggota keselamatan Israel. – Gambar EPA, 10 Ogos, 2017.

PIHAK berkuasa Israel merobohkan tiga rumah dan menutup sebuah lagi rumah rakyat Palestin yang melakukan serangan sehingga membunuh seorang tentera dan seorang polis, kata tentera hari ini.

Israel seringkali meroboh rumah penyerang yang disifatkannya sebagai usaha mengekang keganasan tetapi kumpulan hak asasi dan rakyat Palestin berkata tindakan itu bertujuan untuk menghukum keluarga penyerang.

Dua rumah dimusnahkan di Deir Abu Mashaal, berhampiran Ramallah di Tebing Barat dan rumah ketiga ditutup, kata seorang jurucakap tentera.

Ketua Kampung Emad Zahran memberitahu AFP, tentera Israel memasuki kawasan itu pada jam 2.00 pagi waktu tempatan dengan jentolak.

Pada 16 Jun lalu, tiga penduduk kampung itu melakukan serangan di luar Bandar Lama Jerusalem yang membunuh seorang anggota polis wanita.

Menurut polis, dua penyerang berbalas tembakan dengan anggota polis, dan penyerang ketiga menikam mati seorang anggota polis wanita sebelum ditembak mati.

Semua penyerang terbunuh.

Sebuah rumah di bandar Silwad, Tebing Barat juga dimusnahkan sebagai tindak balas kepada serangan kereta pada 6 April lalu berhampiran penempatan Ofra yang membunuh seorang tentera Israel.

Pertempuran yang meletus pada Oktober 2015 membunuh 293 rakyat Palestin atau Arab Israel, 47 rakyat Israel, dua Amerika, dua Jordan, seorang Eritrean, seorang rakyat Sudan dan seorang warga Britain.

Pihak berkuasa Israel mengatakan kebanyakkan rakyat Palestin yang terbunuh membawa pisau, senapang atau melakukan serangan menggunakan kereta.

Yang lain ditembak mati sewaktu tunjuk perasaan atau pertempuran, dan ada juga yang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel.

Keganasan sudah surut tetapi ketegangan melibatkan Masjid Al-Aqsa kembali tercetus pada Julai lalu. – AFP,  10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen