Menang atau kalah, Isa anggap dirinya juara bertahan di PD


Mohd Farhan Darwis

Calon bebas PRK Port Dickson Isa Samad membuang undi di pusat mengundi di Linggi, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Oktober, 2018.

CALON bebas Isa Samad berkata beliau masih menganggap dirinya tetap juara bertahan sekiranya tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Isa berkata ini kerana beliau sudah memenangi sembilan pertandingan dalam pilihan raya.

“Prestasi saya masih baik, satu kalah lagi sembilan menang masih keadaan baik. Masih boleh dianggap juara bertahan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson selepas mengundi hari ini.

Beliau turut mengharapkan pengundi akan memilihnya, yang merupakan calon tunggal anak jati Port Dickson dalam pertandingan tujuh penjuru itu.

“Harapan saya pengundi Port Dickson akan mengundi calon tempatan tapi itu terserah kepada pengundi.

“Selalu kita undi orang, sekarang kita undi diri sendiri. Kalau ada rezeki saya boleh menang PRK Port Dickson. Banyak atau sikit tetap majoriti, janji menang,” kata Isa.

Isa memilih logo kerusi dalam PRK kali ini selepas bertindak keluar Umno.

Isa tiba di pusat mengundi kira-kira 11.30 pagi, dengan ditemani empat anaknya yang juga pengundi di Parlimen Port Dickson.

Kempennya menggunakan tema warna ungu kerana itu merupakan warna kegemaran allahyarham isteri pertamanya. – 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen