SEORANG pastor warga Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Turki selama dua tahun akhirnya terbang pulang negara asalnya semalam selepas mahkamah membebaskannya daripada kes yang mencetuskan krisis dalam ikatan antara Ankara dan Washington dan menyusahkan ekonominya.
Mahkamah di bandar barat Aliaga mensabitkan Andrew Brunson atas pertuduhan berkaitan keganasan dan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, sebulan dan 15 hari ke atasnya.
Bagaimanapun beliau dibebaskan selepas mengambil kira tempoh menjalani hukuman dan berkelakuan baik sepanjang perbicaraan, dengan mahkamah membatalkan tahanan rumah terhadapnya dan pengharaman perjalanan ke luar negara.
Selepas pulang ke rumahnya di bandar berhampiran Izmir untuk mengambil barangannya, Brunson dihantar ke lapangan terbang Izmir untuk menaiki pesawat tentera AS.
Presiden AS Donald Trump memberi tekanan kepada Turki untuk melepaskan Brunson yang menjadi punca terjejasnya hubungannya dengan Kristian konservatif.
Trump berkata beliau akan bertemu pastor itu sebaik saja tiba di AS.
“Berita baik, Pastor Brunson kini dalam perjalanan,” kata Trump kepada wartawan ketika tiba di Cincinnati untuk berkempen menjelang pilihan raya kongres.
“Dia akan ke White House, mungkin Sabtu.”
Brunson, yang pertama kali ditahan pada Oktober 2016, berdepan hukuman penjara 35 tahun atas tuduhan membantu kumpulan pengganas dan perisik. Pendakwa raya memohon hukuman 10 tahun dikenakan ke atasnya.
Beliau disabitkan atas kesalahan membantu kumpulan pengganas walaupun bukan ahli mereka.
Brunson bagaimanapun bertegas tidak mengaku salah atas semua tuduhan.
“Saya tidak bersalah. Saya sayang Jesus. Saya sayang Turki,” katanya pada pembelaan akhir. – AFP, 13 Oktober, 2018.
Komen