Pilihan terbaru ahli Majlis Hak Asasi PBB dikiritik


Pemilihan terbaru itu disifatkan sebagai tidak masuk akal oleh kumpulan hak asasi manusia.– Gambar AFP, 13 Oktober, 2018.

PILIHAN beberapa negara kontroversi seperti Bahrain, Cameroon dan Filipina sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundang kritikan tajam daripada kumpulan hak asasi dan Amerika Syarikat.

Sekitar satu pertiga daripada kerusi dewan berpengkalan di Geneva yang mempunyai 47 anggota, dibuka untuk penggal 2019-2022. Majoriti 97 undi dari 193 negara yang membentuk Perhimpunan Agung PBB diperlukan bagi meluluskan keanggotaan untuk majlis itu.

Buat pertama kali sejak majlis itu diwujudkan pada tahun 2006, setiap wilayah yang mengundi terlebih dahulu bersetuju dengan pemilihan 18 calon untuk 18 kerusi - menyebabkan sebarang persaingan tidak berlaku.

Ahli baru Bahrain, Cameroon, Filipina, Somalia, Bangladesh dan Eritrea dipilih dengan mendapat antara 160 dan 178 undi.

Ia bagaimanapun, mengundang kritikan dan bantahan daripada aktivis Eropah dan Amerika Utara atas alasan negara-negara tersebut sebagai “tidak layak” kerana rekod pencabulan hak asasi di wilayah-wilayah itu.

“Dengan meletakkan pencabul-pencabul hak asasi sebagai wakil sedangkan banyak lagi anggota yang layak, kumpulan-kumpulan serantau merasakan ragu dengan kredibiliti dan keberkesanan majlis itu,” kata kumpulan Pemantau Hak Asasi (HRW) yang berpangkalan di New York.

Louis Charbonneau, pengarah PBB bagi kumpulan itu, menyifatkan undian tersebut sebagai “tidak masuk akal” dan menghantar ciapan di Twitter  mengatakan ia “adalah penghinaan terhadap perkataan ‘pemilihan.’”

Pada permulaan sesi pengundian, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Maria Fernanda Espinosa, menyatakan bahawa setiap negara anggota dibenarkan memohon untuk menduduki kerusi anggota.

Jurucakapnya kemudian enggan menyampaikan kritikan secara langsung, tetapi sebaliknya menyatakan: “Sudah jelas bahawa dunia mengharapkan anggota badan-badan antarabangsa akan mematuhi satu set piawai tingkah laku yang selaras dengan badan-badan yang dianggotai mereka daripada pemilihan itu.”

Lima anggota baru dari Afrika, lima dari Asia, dua dari Eropah Timur, tiga dari Amerika Latin dan Caribbean, dan tiga dari Eropah barat dipilih sebagai anggota baru majlis tersebut.– AFP, 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen