MELANIA Trump semalam menolak cakap-cakap tentang hubungan sulit suaminya Presiden Donald Trump dengan pelakon porno dan perempuan lain, berkata beliau ada “perkara lebih penting untuk difikirkan”.
Mengulas kali pertama terhadap tuduhan itu, wanita pertama Amerika Syarikat (AS) itu menolak spekulasi yang perkahwinannya bermasalah dan bertegas mengatakan gembira dengan kehidupannya di Washington DC.
Dalam satu temu bual panjang dalam siaran televisyen ABC, Melania tidak menafikan banyak cerita tentang sikap liar suaminya, tetapi tidak mahu ambil tahu tentangnya.
“Ia bukan kebimbangan dan fokus saya,” katanya. “Saya seorang ibu dan wanita pertama, dan saya ada banyak lagi benda penting untuk difikirkan.
“Saya tahu orang dan media suka buat spekulasi tentang perkahwinan kami.
“Sudah tentu ia tidak sentiasa gembira, tetapi saya tahu apa betul dan apa salah.”
Ketika ditanya sama ada beliau mencintai suaminya, Melania menjawab: “Ya, kami baik-baik saja. Itu spekulasi media, dan ia gosip. Ia tidak semestinya betul.” – AFP, 13 Oktober, 2018.
Komen