Putrajaya dijangka perkenalkan 3 cukai baharu, kata pakar


Khoo Gek San

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Malaysia: A New Dawn berkata kerajaan terdahulu meninggalkan hutang besar yang menukar Malaysia daripada harimau Asia kepada anak kucing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA mungkin memperkenalkan tiga cukai baharu – cukai warisan, cukai soda dan cukai keuntungan modal – di mana semuanya boleh menstabilkan kewangan negara dan memulihkan kekurangan yang disebabkan oleh pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pakar percukaian, Koong Lin Loong berkata walaupun pemansuhan GST mengurangkan perolehan kerajaan kira-kira RM40 bilion seperti dikatakan pentadbiran terdahulu, defisit itu boleh ditampung dengan mudah menerusi mempelbagaikan aliran hasil negara.

Beliau berkata itu sebabnya mengapa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai baharu bagi meningkatkan wang negara bagi membayar RM1 trilion hutang negara.

Cukai baharu itu dijangka diperkenalkan pada bajet tahun depan yang akan dibentangkan pada November.

Koong, yang juga rakan pengurusan Konsult Taxation Sdn Bhd, berkata walaupun kerajaan akan dikritik teruk oleh pembangkang kerana memperkenalkan sistem cukai baharu, langkah itu ternyata akan menstabilkan kewangan pentadbiran kerajaan.

“Ini akan membolehkan kerajaan menambah pendapatan baharu bagi membayar semula hutang besar yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu, dan juga membantu menstabilkan situasi kewangan negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar percukaian, Koong Lin Loong berkata Putrajaya mungkin memperkenalkan tiga cukai baharu – cukai warisan, cukai soda dan cukai keuntungan modal. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

Koong berkata kerajaan tidak pernah melaksanakan cukai keuntungan modal, dan transaksi seperti membeli dan menjual barangan antik setakat ini terlepas daripada bayaran cukai.

“Sudah tentu, hanya golongan kaya yang mengumpul barangan antik yang akan terjejas (dengan cukai keuntungan modal). Orang ramai tidak akan terjejas sangat,” katanya.

Koong berkata berkenaan cukai warisan, kerajaan mengutip cukai itu beberapa tahun lalu sebelum ia dimansuhkan.

Katanya, ada kemungkinan ia akan dilaksanakan sekali lagi dan cukai itu akan memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan tinggi, termasuk ibu bapa yang meninggalkan harta kepada anak mereka, jika jumlahnya melepasi had angka tertentu.

Bagaimanapun, Koong berkata secara peribadi beliau membantah cukai ini, berkata rakyat Malaysia sudah pun dikenakan cukai yang banyak pada peringkat individu, kecuali jika kerajaan mengubah suai rejim cukai bagi membolehkan kumpulan berpendapatan pertengahan mempunyai lebih banyak wang boleh guna.

“Ini akan merangsang kepenggunaan, dan jika ada lebih banyak wang tunai mengalir dalam ekonomi, maka ia akan mendorong pembangunan,” katanya.

Koong berkata rakyat membayar terlalu banyak cukai pendapatan, terutama ekspatriat yang dikenakan cukai 28 sen bagi setiap ringgit pendapatannya.

Katanya, mengurangkan cukai untuk warga asing akan membantu Malaysia menarik lebih ramai pekerja asing berkemahiran dan menyumbang kepada wang simpanan negara secara keseluruhan.

Pakar percukaian berkata rakyat Malaysia pada masa ini sudah dikenakan cukai yang banyak pada peringkat individu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

Berkenaan cukai soda, di mana pegawai khas Kementerian Kewangan Tony Pua berkata sebelum ini, kerajaan mempertimbangkannya, Koong berkata ada kemungkinan kerajaan akan memilih cukai itu kerana ia cuba mengurangkan pengambilan guna dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun katanya, ia akan sama seperti cukai tembakau dan alkohol, di mana orang ramai akan terus membelinya tanpa mengira berapa banyak ia dikenakan cukai.

Dr Mahathir ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan “Malaysia: A New Dawn” awal minggu ini berkata kerajaan terdahulu meninggalkan hutang besar yang menukar Malaysia daripada harimau Asia kepada anak kucing.

Beliau berkata kerajaan merancang untuk melaksanakan cukai baharu untuk membayar RM1 trilion hutang negara, tetapi tidak mendedahkan butirannya.

Pentadbiran PH memansuhkan GST pada Jun, menepati janji pilihan rayanya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tiga bulan selepas itu. – 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen