80% pekerja Taiwan tertekan bayar hutang


Tinjauan Job Bank 1111 mendedahkan mereka yang mempunyai hutang terkumpul pula membelanjakan 39% daripada pendapatan untuk membayar hutang. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2018.

LAPAN puluh peratus rakyat Taiwan yang bekerja hidup di bawah tekanan untuk membayar gadai janji, hutang kad kredit dan pinjaman pendidikan, demikian menurut hasil tinjauan, lapor agensi berita Xinhua.

Tinjauan Job Bank 1111 mendedahkan mereka yang mempunyai hutang terkumpul pula membelanjakan 39% daripada pendapatan untuk membayar hutang. 

Sembilan daripada 10 responden yang berhutang mengatakan mereka “merasa tertekan.”

Sementara data statistik terbaru dikeluarkan pihak berkuasa, menunjukkan purata gaji bulanan pekerja di Taiwan pada tempoh Januari-Ogos ialah 40,830 dolar Taiwan (kira-kira AS$1,320), meningkat 2.61% tahun ke tahun.

Bagaimanapun, Naib Presiden Job Bank 1111 Ho Chi-sheng berkata, peningkatan kos sara hidup di Taiwan mengatasi kenaikan pendapatan, mendorong orang ramai membuat pinjaman untuk terus bertahan.

Ho berkata kenaikan harga rumah menambahkan lagi beban hidup penduduk.

Kajian juga mendapati 28% responden bekerja sambilan untuk menambah pendapatan, manakala 26% lagi mengatakan merancang melakukan perkara sama.

Secara purata, responden memperuntukkan 17.5 jam seminggu untuk kerja sambilan. – Bernama, 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen