PENTADBIRAN Amerika Syarikat (AS) bercadang memperhebat langkah memerangi aktiviti pemerdagangan orang dan akan mewujudkan beberapa inisiatif baharu bagi tujuan itu selain melaksanakan kaedah sedia ada dengan lebih agresif.
Perkara ini diumumkan pada Khamis oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Antara Agensi Presiden berkaitan Pemerdagangan Orang.
Agensi ini memantau dan cuba memerangi aktiviti pemerdagangan orang.
Pompeo memuji para pegawai agensi itu, dan menyatakan mereka “menjadi teladan perkhidmatan berani bagi AS dan dunia, dengan memilih untuk mengubah pengalaman ngeri mereka kepada advokasi yang berkuasa.”
Beliau menyampaikan Anugerah Kepresidenan bagi Usaha-Usaha Luar Biasa bagi Memerangi Pemerdagangan Orang kepada Minal Patel Davis dan William C. Woolf III.
Patel-Davis, yang berkempen bagi menentang pemerdagangan orang, adalah penasihat khas Datuk Bandar Houston berhubung isu itu, manakala C. Woolf III merupakan seorang penyiasat Pasukan Petugas Pemerdagangan Orang Utara Virginia, Fairfax County di Jabatan Polis Virginia.
Kes-Kes pemerdagangan orang telah meningkat secara mendadak di seluruh dunia dan AS kini mengambil langkah pencegahan untuk memberi amaran kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Meskipun perdagangan manusia berlaku secara meluas di Afrika, Asia dan Amerika Latin, ia turut berlaku di negara-negara Eropah Timur yang lebih miskin, dengan kebanyakan mangsa diseludup ke Barat, termasuk AS, di mana mereka dieksploit oleh penyeludup dan pengendali aktiviti itu.
“Kerajaan AS kini mencari kaedah baharu untuk memanfaatkan input mereka yang terselamat daripada sindiket pemerdagangan orang bagi memperkukuh polisi persekutuan dan usaha-usaha pemprograman,” kata Pompeo sambil menambah bahawa Jabatan Negara telah memainkan peranannya menerusi empat inisiatif utama.
Setiausaha negara berkata pentadbiran itu telah melancarkan Program untuk Menghentikan Perhambaan Moden tahun lepas, satu program bantuan asing AS yang dibiayai kongres bagi mencapai pengurangan yang boleh diukur dalam perhambaan moden yang tersebar luas dalam kalangan negara dan wilayah tertentu.
“Program itu bermula dnegan satu pelaburan permulaan sebanyak US$25 juta untuk Dana Global Bagi Menghentikan Perhambaan Moden dan kini, kami baharu sahaja menganugerahkan sumbangan kedua sebanyak US$25 juta kepada Dana Global dan Yayasan Penyelidikan Universit Georgia untuk meneruskan kerja penting ini.
“Kongres juga telah memperuntuk sejumlah US$25 juta lagi bagi tahun fiskal 2018, yang akan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan kami bagi program penting ini ialah US$75 juta,” katanya.
Program Pendaftaran Diri Pekerja Domestik Jabatan Negara akan diperluas kepada dua bandar pada 2019.
Program ini telah dibangunkan untuk mempertingkat perlindungan dan pengawasan pekerja domestik asing yang digaji oleh misi asing dan kakitangan organisasi antarabangsa.
Inisiatif ketiga ialah video ‘Ketahui Hak-Hak Anda’ baharu yang akan disiarkan di kedutaan-kedutaan serta konsulat AS bagi meningkatkan kesedaran pemohon visa tentang hak-hak mereka, membantu mereka mengenal pasti situasi-situasi pemerdagangan orang, dan menyebabkan mereka mengelak serta melaporkan aktiviti yang mencurigakan.
Ramai pakar percaya bahawa dengan memberi kesedaran kepada pemohon visa tentang potensi bahaya pemerdagangan orang akan mencegah kesengsaraan yang bakal dihadapi mangsa, selain menjadi satu faktor penghalang terhadap penyeludup.
Keempat, Jabatan Negara baharu sahaja menganugerahkan satu kontrak bagi mewujudkan Rangkaian Pakar Perunding Pemerdagangan Orang, yang akan membolehkan jabatan itu secara bermakna menggabungkan input mangsa yang terselamat ke dalam tugasan anti-pemerdagangannya, pada masa sama memberi pampasan kepada mangsa yang terselamat untuk kepakaran mereka.
Presiden Donald Trump, ketika berucap kepada Pasukan Petugas Antara Agensi berkaitan Pemerdagangan Orang, turut mengulangi tekad pentadbiran beliau untuk mengambil tindakan keras terhadap penyeludup dan menghentikan aktiviti perdagangan manusia mereka.
“Kami berusaha untuk menyasarkan penyeludup secara agresif dan melindungi mangsa daripada penderaan yang tidak berperikemanusiaan ini.
“Pada bulan pertama saya mengambil alih jawatan, saya telah menandatangani satu perintah eksekutif yang mengarahkan penguatkuasaan undang-undang persekutuan untuk mengutamakan pembongkaran organisasi jenayah yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang.
“Saya kemudian beberapa kali menjadi tuan rumah kepada beberapa mangsa yang terselamat di Rumah Putih ini dan berbual tentang bagaimana kami boleh memperkukuh dan mempertingkat usaha-usaha anti-penyeludupan di negara kita,” katanya.
Trump turut mendedahkan bahawa pentadbirannya “mencabar rejim-rejim asing yang memudahkan aktiviti penyeludupan manusia bagi tujuan seks dan buruh paksa yang jahat ini.”
“Dan kita kini berusaha untuk menumpaskan organisasi jenayah yang menyeludup dadah dan manusia secara haram merentasi sempadan kita, mengeksploitasi mereka demi keuntungan sendiri. Dan kami juga berusaha mengenakan pertuduhan jenayah terhadap mereka yang melakukan perbuatan jahat dan dahsyat ini”.
Beliau berkata pentadbirannya tahun lepas telah mendakwa sejumlah besar penyeludup.
“Jabatan Kesihatan dan Hotline Perkhidmatan Manusia Kebangsaan bagi Pemerdagangan Orang menerima lebih 8,500 laporan berkaitan potensi penyeludupan tahun lepas. Dan adiwira kita yang berani di ICE (Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam) telah melakukan lebih 1,600 tangkapan dalam kes pemerdagangan orang.” – Bernama, 12 Oktober, 2018
Komen