Kajian ramal Isa hilang undi bukan Melayu, PAS hilang deposit di PD


Mohd Farhan Darwis

Tindakan Isa Samad keluar parti, skandal Felda serta sentimen pengundi muda bakal menyebabkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tewas pada PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2018.

CALON Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Isa Samad dijangka gagal meraih undi orang bukan Melayu, manakala PAS pula bakal hilang deposit, kata kajian Ilham Center.

“Isa kehilangan undi Cina dan India. Pola pengundi bukan Melayu jelas masih memihak dan kekal dengan Pakatan Harapan dan dalam pilihan raya kali ini penolakan terhadap calon selain daripada PH masih kuat. 

“Oleh itu, calon selain daripada Anwar Ibrahim bergelut dan seolah-olah berputus asa untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center Mohd Azlan Zainal dalam kenyataan dikeluarkan hari ini tentang kajian tersebut. 

Hasil kajian itu juga dipengaruhi pecahan sentimen pengundi bawah usia 40-an yang tidak berkongsi rasa “balas budi” dengan pengundi Melayu yang lebih berusia.

“Pola pengundian pengundi muda di bawah 40 tahun tidak berkongsi nilai sentimental terhadap Isa sepertimana generasi sebelumnya.”

Isa juga bakal kehilangan sebahagian undi penyokong dan ahli Umno kerana tindakannya keluar parti selepas parti Melayu itu memboikot PRK tersebut, tambah kajian itu lagi.

“Isa juga bakal kehilangan undi saluran muda dan sebahagian ahli parti Umno apabila beliau mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi calon bebas.”

Selain itu, menurut kajian, anak muda Umno hilang arah dalam PRK ini disebabkan skandal Felda. 

“Imej Isa yang terpalit dengan skandal dan kegagalan pemimpin Felda melatari imej negatif di kalangan pengundi muda terhadap beliau,” katanya.

Kajian dilakukan Ilham Center itu diadakan bermula 8 hingga 11 Oktober melibatkan 817 responden dari Parlimen Port Dickson.

PRK Port Dickson akan berlangsung esok, ditunggu seluruh negara kerana ia bakal jadi penentu Anwar Ibrahim berjaya atau tidak ke Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Oktober, 2018.

Jentera PAS di Port Dickson lumpuh

PAS pula, kata kajian, berdepan masalah jentera yang lumpuh kerana sokongan kepada parti Islam itu semakin mengecil di Port Dickson disebabkan ramai ahlinya menyertai Amanah.

“Dalam tinjauan kami, jentera lokal lumpuh dan tapak sokongan PAS semakin mengecil selepas majoriti ahli PAS terutama di kawasan Telok Kemang menyertai Amanah sejak tiga tahun yang lalu. 

“Kempen kali ini banyak digerakkan oleh jentera luar terutama dari PAS Selangor dan PAS Terengganu manakala jentera lokal iaitu PAS Port Dickson serta PAS Negeri Sembilan kelihatan hilang kemampuan dan arah dalam memacu kemenangan PAS,” katanya.

Tindakan mengejut Isa keluar Umno dan bertanding juga memberi kesan kepada strategi PAS di Port Dickson, kata kajian, menyatakan fokus parti Islam itu untuk mengekalkan undi mereka ketika PRU14 terkesan.

“Menyedari sukar menyaingi Anwar, fokus utama PAS hanyalah untuk mengekalkan undi yang diperolehi oleh mereka dalam PRU14 dan memastikan mereka adalah pencabar terdekat Anwar.

“Percaturan asal PAS melihat pertembungan mungkin dua penjuru selepas Umno memboikot pilihan raya ini, tetapi keputusan mengejut Isa keluar Umno dan tampil menawarkan menjadi calon bebas telah merencatkan strategi PAS ini,” katanya lagi.

Kajian menyimpulkan yang faktor-faktor yang berlaku menyebabkan PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu malah bakal hilang deposit.

“Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Isa selain berkemungkinan tinggi untuk kehilangan deposit.”

Sekiranya berlaku, ini bukan pertama kali PAS hilang deposit di PD. Pada PRU14 9 Mei lalu, calon PAS Mahfuz Roslan juga hilang deposit apabila hanya meraih 6,594 undi. Dua lagi calon PAS di DUN Linggi dan Sri Tanjong dalam Parlimen Port Dickson juga hilang deposit. 

Terdapat lima DUN dalam Parlimen Port Dickson: Linggi, Chuah, Lukut, Bagan Pinang dan Sri Tanjong.

PRK Port Dickson terpaksa dijalankan selepas penyandangnya meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen, langkah pertama dalam transisi dua tahun sebelum Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2018.

Isa, bekas ketua Umno Bahagian Telok Kemang, memulakan karier politiknya apabila dipilih sebagai Adun Linggi pada 1978 dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Beliau menang kerusi itu dalam empat lagi pilihan raya umum sehingga 2004.

Isa adalah menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun antara 1982 hingga 2004.

Pada PRU 2004, Isa bertanding kerusi Parlimen Jempol dan dilantik sebagai menteri kabinet dalam kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kemudian letak jawatan selepas didapati bersalah  melanggar etika Umno dalam pemilihan parti 2005.

Isa yang ketika itu naib presiden Umno dikenakan hukuman gantung enam tahun daripada memegang jawatan dalam parti, yang kemudian diringankan kepada tiga tahun. Hukuman itu tamat pada 2008.

Pada 2009, Isa muncul semula dalam arena politik apabila menang PRK Badan Pinang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun sebelum ini berkata Isa tidak ada peluang menang di Port Dickson kerana pengundi masih bersama PH dan akan menyokong Anwar.

PH mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, menambah senarai negeri yang dirampasnya daripada BN sejak PRU 2008.

Pada 2008 jugalah BN hilang pengaruh di kawasan Parlimen Port Dickson, kerusi yang pada masa itu dikenali dengan nama Telok Kemang.

Calon PKR, Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN S Sothinathan. Kamarul sekali lagi mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Pada PRU14 lalu, kerusi PD dimenangi oleh calon PH Danyal Balagopal Abdullah apabila menang dengan majoriti 17,710 mengalahkan V Mogan daripada BN dan calon PAS, Mahfuz.

Danyal meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK Port Dickson untuk kembali ke Parlimen, dalam proses transisi jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun lagi seperti mana perjanjian empat parti PH. – 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen