Polis Indonesia tumpas sindiket pemerdagangan kanak-kanak di Instagram 


PIHAK berkuasa Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan kanak-kanak yang menawarkan bayi untuk dijual di Instagram, menahan empat individu termasuk pembeli daripada sebuah pusat peranginan di Bali, kata polis pada Jumaat.

Polis memulakan siasatan selepas menemui posting yang mencurigakan di media sosial yang menawarkan khidmat anak angkat kepada ibu yang akan melahirkan anak luar nikah, kata polis.

Seorang lelaki didakwa menjalankan operasi itu di akaun Instagram dan seorang ibu berusia 22 tahun yang didakwa menawarkan anaknya untuk diambil sebagai anak angkat kedua-duanya ditahan minggu lalu, kata jurucakap polis Timur Jawa, Frans Barung Mangera kepada AFP. 

Seorang bidan dan pembeli turut ditahan ketika polis memintas jualan itu minggu lalu di Surabaya.

Polis berkata ibu terbabit mahu menjual bayi berusia 11 bulan yang merupakan anak ketiganya untuk membayar hutang.

“Bayi itu dijual dengan harga 15 juta rupiah (AS$990),” kata ketua siasatan jenayah Polis Surabaya Sudamiran kepada pemberita pada sidang media yang diadakan Selasa lalu.

“Menurut kenyataan ibunya, bayi berkenaan adalah hasil hubungan sulitnya,” kata Sudamiran.

Pengendali akaun Instagram akan menerima 2.5 juta rupiah hasil daripada jualan bayi, kata polis.

Akaun itu masih aktif pada Jumaat yang memiliki lebih 760 pengikut.

Ia turut memuat naik beberapa gambar ultrasound serta gambar ibu yang dikaburkan sebahagiannya bagi melindungi identiti mereka.

Akaun itu menawarkan menawarkan “penyelesaian keluarga” dan menyenaraikan butiran peribadi wanita yang menawarkan bayi mereka termasuk umur, agama, usia kandungan dan tahap kesihatan.

Pembeli akan diminta menghubungi pentadbir akaun berkenaan menerusi WhatsApp.

Empat suspek terbabit berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia. – AFP, 12 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen