MAHKAMAH Agung di Washington buat kali ketiga membantah pelaksanaan hukuman mati yang disifatkan “tidak berpelembagaan”, menjadikan Washington negeri ke-20 di Amerika Syarikat (AS) memansuhkan hukuman tersebut.
Keputusan yang dicapai sebulat suara itu mendapati “Hukuman mati tidak sah kerana ia dikenakan secara sembarangan dan bersifat perkauman”.
Menurut agensi berita Xinhua, ia diputuskan dalam kes lelaki berkulit hitam Allen Eugene Gregory, yang disabitkan bersalah merogol dan membunuh seorang wanita berusia 43 tahun pada 1996.
Hukuman mati ke atas Gregory dibatalkan, sebaliknya tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Mahkamah itu berkata hukuman mati dikenakan tidak sama rata, ia berdasarkan masa jenayah, kaum dan jumlah wang yang ada untuk pendakwa daerah.
Gabernor Washington Jay Inslee yang menyambut baik keputusan itu menerusi Twitternya menulis: “Keputusan Mahkamah Agung negeri hari ini mengakhiri hukuman mati di Washington. Ia sangat penting dalam usaha kami untuk menerapkan keadilan yang saksama.”
Sementara itu, menurut pengarah eksekutif Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) Kathleen Taylor, pesalah berkulit hitam di negeri itu lebih empat kali ganda dijatuhi hukuman mati berbanding kulit putih. – Bernama, 12 Oktober, 2018.
Komen