Lebih 30 maut tragedi lombong emas runtuh di Congo


Kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan di Congo kerap berlaku, terutamanya jika hujan lebat dan usaha menyelamat selalu lambat. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2018.

LEBIH 30 pelombong emas terkorban dan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Kivu, Republik Demokratik Congo, demikian menurut pegawai.

“Kejadian berlaku minggu lepas di Misisi di wilayah Fizi. Usaha mencari dan menyelamat hanya bermula hari ini,” kata pegawai tinggi tempatan Aime Mutipula pada Khamis.

Menurut seorang jurucakap sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam memantau aktiviti perlombongan, Tyber Kajemba setakat ini, 37 orang dipercayai maut dan ramai lagi terperangkap dalam runtuhan sedalam 70 hingga 80 meter.

Beliau berkata lombong tersebut juga tidak diselenggara dengan sempurna.

Sementara itu, seorang pemimpin di wilayah Fizi Deogratias Musafiri berkata, jumlah mayat yang berjaya dikeluarkan setakat ini ialah 32 orang.

“Kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan kerap berlaku, terutamanya jika hujan lebat dan usaha menyelamat selalu lambat,” katanya. – Bernama, 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen