SIKAP rakyat Malaysia yang tidak mempedulikan soal rasuah termasuk dalam kalangan orang Islam akan merugikan negara pada jangka masa panjang, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Katanya, sikap acuh tidak acuh itu dalam kalangan orang Islam berlaku kerana mereka tidak memiliki akhlak Islam sehingga menganggap perlakuan rasuah sebagai perkara biasa.
Mohamad, yang juga Presiden Amanah, memberi contoh bagaimana kadar rasuah rendah di negara-negara Barat berbanding dengan negara Islam.
“Tidak malukah kita dengan New Zealand, kambing lebih ramai daripada orang tetapi sudah masuk dalam ‘first world’ kerana rasuah hampir tiada,” soalnya ketika menyampaikan syarahan di Univerisiti Malaya, hari ini.
Mohamad juga menyatakan rasa hairan kenapa amalan rasuah dan penyelewengan berlaku di pejabat agama di Malaysia.
“Secara umumnya kita lihat akhlak Islam dengan orang Islam sudah terpisah. Akhlak Islam diamalkan oleh orang bukan Islam.
“Orang Islam menaja akhlak Islam tetapi diamalkan oleh orang bukan Islam terutama sekali soal rasuah. Kenapa jadi begitu?,” tanyanya.
Syarahan bertajuk “PRU14: Gerakan rakyat menangkan Pakatan Harapan, di mana cendiakawan?” disampaikan pada seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCedel).
Mohamad berkata rasuah di Malaysia sudah dianggap perkara biasa sebelum berlaku perubahan pemerintahan pada 9 Mei lalu apabila Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Lebih mengecewakan kata ahli Parlimen Kota Raja itu, soal rasuah hampir tidak didebatkan di peringkat universiti oleh ahli akademik sehingga memaksa rakyat mengangkat isu itu ke jalan raya melalui demonstrasi.
“Lima tahun sebelum berlaku perubahan pemerintahan ini, rasuah sudah diangap perkara biasa berlaku dan amalan-amalan itu sudah macam diterima oleh orang-orang atasan tidak kira di universiti atau di luar universiti.
“Ahli-ahli politik kaya mendadak macam diiyakan. Kita tahu bahawa akibat daripada kita mengizinkan rasuah berleluasa, yang menderita akhirnya adalah kita,” katanya.
Beliau memberikan contoh kerugian berbilion ringgit yang dialami oleh kerajaan akibat penyeludupan yang berlaku kerana rasuah, ditokok pula dengan hutang yang terpaksa ditanggung oleh negara akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau membayangkan apa yang boleh berlaku sekiranya kerugian yang ditanggung oleh kerajaan itu dapat digunakan untuk pendidikan, termasuk untuk pendidikan tinggi.
“Tetapi kenapa UM tidak bising bila duit kerajaan hilang?” soalnya.
Dalam syarahannya Mohamad turut menyentuh tentang peranan intelektual universiti sebagai sumber maklumat kepada rakyat untuk membetulkan kepincangan serta menggerakkan perubahan dalam masyarakat.
Katanya, sikap membisu ahli akademik menyebabkan negara sekarang terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak perlu disebabkan salah urus tadbir oleh kerajaan sebelum ini.
“1MDB tidak didebatkan di universiti barangkali disebabkan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) atau barangkali intelektual universiti tidak berminat dengan isu ini, tetapi rakyat awam amat berminat kerana ia melibatkan wang negara,” katanya.
Jelas beliau sikap diam diri golongan intelektual turut menyumbang pada “perbelanjaan paling sia-sia dalam sejarah kewangan Malaysia” yang ditanggung kerajaan membayar hutang 1MDB. – 12 Oktober, 2018.
Komen