Penahanan Keiko Fujimori wajar, kata pihak pendakwa


Keiko Fujimori ditahan selama 10 hari bersama-sama 19 orang lagi, termasuk dua bekas menteri Kabinet. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2018.

KETUA pasukan pendakwaan Peru yang menyiasat skandal rasuah membabitkan gergasi pembinaan Odebrecht dari Brazil berkata penahanan pemimpin pembangkang Keiko Fujimori atas dakwaan menerima sumbangan kempen secara haram adalah wajar.

Rafael Vela memaklumkan stesen TV RPP Noticias dan stesen berita radio bahawa pendakwa raya yang bertanggungjawab dalam kes itu, Jose Domingo Perez, telah “menjalankan satu siasatan yang amat teliti selama lebih setahun.”

“Perez adalah seorang pendakwa raya yang amat teliti dan sentiasa memastikan hak-hak defendan terjamin,” kata Vela sambil menambah permohonan untuk menahan Keiko “adalah wajar.”

Keiko, pemimpin Parti Fuerza Popular, ditahan pada Rabu semasa satu prosiding mahkamah di depan Hakim Richard Concepcion Carhuancho.

Hakim mengarahkan beliau ditahan selama 10 hari bersama-sama 19 orang lagi, termasuk dua bekas menteri Kabinet dan mereka yang didakwa menyalurkan sumbangan haram daripada Odebrecht kepada kempen kepresidenan Keiko yang gagal pada 2011 dan 2016.

Concepcion Carhuancho berkata beliau membenarkan permohonan pendakwaan kerana terdapat “elemen-elemen sabitan yang berasas” berhubung pertuduhan pengubahan wang haram dan halangan keadilan.

Kedua-dua Marcelo Odebrecht, yang merupakan CEO syarikat terbabit, dan bekas eksekutif utama Odebrecht di Peru, Jorge Barata, memaklumkan pendakwa raya Peru bahawa gergasi pembinaan itu menyediakan sumbangan kempen kepada Keiko, yang berulang kali menafikan ada menerima wang tersebut.

Keiko mewarisi kepimpinan parti daripada bapanya, bekas presiden Alberto Fujimori, yang dijangka kembali meringkuk dalam penjara sebaik menyempurnakan hukuman penjara  25 tahun bagi jenayah terhadap kemanusiaan. –  Bernama, 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen