SPR tetap sasar 70% keluar mengundi PRK Port Dickson


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood berkata, pihaknya mengharapkan pengundi keluar lebih awal kerana hujan lebat diramal pada waktu petang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Oktober, 2018.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) masih meletakkan sasaran 70% pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson esok.

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood berkata, pihaknya mengharapkan pengundi keluar lebih awal kerana hujan lebat diramal pada waktu petang.

“Kita jangka 70% keluar mengundi dan harap semua keluar lebih ramai waktu pagi berbanding petang.

“Kita jangkakan petang hujan dan bimbang orang tidak akan keluar mengundi. Jadi pengundi disaran keluar awal dan buat semakan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, hari ini.

Katanya, pihak SPR turut menyediakan perkhidmatan kenderaan penghantar dan payung sebagai persediaan untuk membantu pengundi.

Bagi PRK Parlimen Port Dickson, SPR menggunakan khidmat 1, 403 petugas bagi proses pengundian esok dengan 32 pusat mengundi merangkumi 154 saluran.

Seramai 68, 317 orang bakal mengundi dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Othman turut mengingatkan agar tiada sebarang kempen meraih undi dilakukan esok, termasuk di laman media sosial.

Beliau berkata tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini.

Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya sedang membuat persiapan bagi pilihan raya kecil Port Dickson esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Oktober, 2018.

“SPR juga mengingatkan semua pihak pada hari mengundi, semua bentuk kempen atau akiviti merayu undi adalah dilarang.

“Tiada mana-mana pihak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya,” kata Othman lagi.

Pengundian awal PRK Parlimen Port Dickson pada 9 Oktober lalu menyaksikan hanya 63% daripada 7,191 pengundi keluar mengundi. – 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen