KHIDMAT penghantaran ke orbit Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dihentikan hingga dimaklumkan nanti.
Amerika Syarikat (AS) dan Rusia tidak akan dapat menghantar angkasawan ke ISS sehingga penyiasat selesai mengenal pasti punca kegagalan roket Soyuz berlepas semalam.
Satu-satunya cara untuk angkasawan dari bumi ke ISS sejak 2011 ialah dengan menaiki roket Soyuz milik Rusia.
Tetapi agensi angkasa Rusia, Roscosmos menghentikan roket itu hingga siasatan selesai tentang apa punca yang berlaku sehingga menyebabkan angkasawan AS Nick Hague dan Aleksey Ovchinin dari Rusia terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Kazakhstan.
Pelancaran Soyuz selepas ini ke ISS dijadualkan pada 20 Disember dan sepatutnya bagi membawa tiga kru ke ISS. Tetapi buat masa ini, tidak dapat ditentukan berapa lama perkhidmatan itu akan ditangguhkan.
Antara kemungkinan masalah yang timbul ialah kapal angkasa yang membolehkan kru ISS kembali ke bumi yang diletakkan di stesen itu pada Jun, akan kehabisan bateri selepas kira-kira 200 hari, kata Nasa.
Secara teorinya ia akan memaksa kru untuk pulang ke bumi pada awal Januari tahun depan, kata Pengarah Institut Dasar Angkasa Universiti George Washington, John Logsdon.
Tentang makanan pula, bekalan mencukupi untuk kru bagi tempoh beberapa bulan, kerana stesen itu sering menerima bekalan menerusi kapal angkasa tanpa pemandu buatan Jepun dan AS. – AFP, 12 Oktober, 2018.
Komen