SEKURANG-KURANGNYA 65.9% rakyat Malaysia percaya Anwar Ibrahim akan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, menurut tinjauan terkini Kajidata Research yang berpangkalan di Kota Damansara.
Bagaimanapun, andaian ini boleh memakan diri pemimpin PKR itu sekiranya pengundi memilih tidak keluar mengundi esok, kata firma penyelidikan itu.
“Terdapat risiko kehadiran yang rendah disebabkan jangkaan yang tinggi bahawa Anwar akan meraih kemenangan besar,” katanya.
Kajian di seluruh negara mendedahkan hanya 13.6% daripada 1,003 responden berusia di antara 20 hingga 60 tahun meramalkan seorang daripada enam calon yang lain di Port Dickson akan menang.
Anwar akan menentang lima calon bebas - Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen - dan veteran angkatan udara Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS.
Tinjauan bermula 24 hingga 29 September ini dijalankan untuk melihat respons terhadap pencalonan Anwar dan apa yang dipanggil “Langkah Port Dickson” yang menyaksikan tentera bersara Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi dimenanginya pada pilihan raya umum 9 Mei, memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Parlimen.
Menurut Kajidata, rakyat Malaysia mempunyai perasaan bercampur mengenai langkah itu.
Hanya 44.2% responden menyokong langkah yang membolehkan Anwar bertanding di PD, dengan 29.2% memberi sokongan kuat dengan baki 15% mengatakan mereka “agak setuju”. Sebanyak 36.4% tidak bersetuju dengan langkah Pakatan Harapan (PH) dan baki 19.4% menyatakan mereka tidak memihak kepada mana-mana.

Walaupun tidak puas hati, sebahagian besar responden - 46.8% - masih percaya akan ada “kesan positif terhadap kerajaan PH” sekiranya Anwar memenangi kerusi Parlimen, kata Kajidata mengenai hasil kajian.
Satu dapatan luar biasa adalah responden Bumiputera di Sabah dan Sarawak menyokong kuat Anwar bertanding di PD iaitu sebanyak 48%.
DUN Port Dickson terdiri daripada 75, 212 pengundi, dengan etnik Melayu membentuk 43% daripada pengundi, diikuti Cina (33%), India (22%) dan kaum lain hanya membentuk 2%.
Mengenai persoalan Anwar menjadi perdana menteri akan datang, tinjauan mendapati 44.8% daripada responden menyokongnya, 28.8% tidak dan 26.4% tidak membuat keputusan.
Kaji selidik itu dijalankan menerusi temubual “voice activated telephone” (VATI) dan responden dipilih berdasarkan “sampel rawak etnik, gender, umur dan negeri mengikut demografi negara”, kata Kajidata.
Mengikut negeri, tinjauan mendapati Anwar mempunyai sokongan 100% di Labuan, manakala 100% responden di Putrajaya menentang keputusannya bertanding dalam PRK itu.
Negeri seperti Kedah (47%), Pahang (49.6%) dan Negeri Sembilan (45.8%) semua mencatatkan kadar penolakan yang tinggi terhadap pencalonan Anwar di Port Dickson.
PH Pulau Pinang berpecah dalam pendapat mereka, dengan 37% responden menyokong dan 36.5% tidak setuju dengan langkah Anwar. – 12 Oktober, 2018.
Komen