AS penjarakan penipu festival muzik Bahamas


Ratusan orang yang mahu berpesta datang ke Bahamas pada 2017, dengan bayaran mahal untuk menikmati festival muzik mewah, rupanya hanya deretan khemah seperti kem pelarian dan sandwic disediakan. – Gambar Facebook, 12 Oktober, 2018.

USAHAWAN di sebalik festival muzik mewah di Bahamas yang menjadi penyebab kekecohan pada 2017, dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam, selepas mengaku melakukan penipuan.

Billy McFarland, 26, penganjur Festival Fyre, yang mendakwa dirinya sebagai usahawan acara muzik terhebat.

Ratusan orang yang mahu berpesta datang ke Bahamas, ada sesetengahnya membayar lebih AS$100,000 setiap seorang selepas dijanjikan festival muzik bertaraf tinggi.

Tetapi sebaliknya yang menanti mereka hanya deretan khemah yang kelihatan seperti kem pelarian dan makanan yang disediakan hanya sandwic.

“Hari ini, McFarland terima akibatnya bahawa janji palsu tidak menyediakan jet, champagne dan parti hebat – ia bawa ke penjara,” kata Peguam Negara AS untuk Manhattan, Geoffrey Berman.

McFarland yang berasal dari New York mengaku bersalah melakukan penipuan pindahan wang, bank dan membuat kenyataan palsu dalam dua rayuan pada Mac dan Julai. Dan jika dibicarakan kes itu, beliau berdepan hukuman penjara 20 tahun.

Selain dihukum penjara, tertuduh diperintahkan membayar AS$26 juta.

McFarland membuat kenyataan palsu untuk menunjukkan kepada pelabur bahawa syarikatnya memperoleh jutaan dolar dari April 2016 hingga Februari 2017 menerusi tempahan model, di mana realitinya pendapatan syarikat itu hanya AS$57,443, kata pendakwa.

Pejabat Peguam Negara berkata sekurang-kurangnya 80 pelabur tertipu dalam skim itu, dengan kerugian dianggarkan AS$24 juta.

Sebelum ini, hakim di North Carolina memerintahkan dua peminat yang tertipu dibayar pampasan AS$1.5 juta setiap seorang, ditambah lagi AS$1 juta sebagai ganti rugi hukuman.

Seth Crossno dan Mark Thompson berkata mereka membayar AS$13,000 dengan janji penginapan eksklusif di pulau persendirian tetapi akhirnya hanya khemah pelarian dan mereka kemudian meninggalkan tempat itu kerana rasa tidak selamat.

Ramai pengunjung parti itu memuat naik gambar di media sosial tentang keadaan yang memalukan itu, dan bengang dengan harga yang mahal perlu dibayar.

Festival Fyre kemudian dibatalkan dan pengunjung dibawa keluar selepas rasa tertipu dengan pengiklanan bahawa ia parti muzik unik dan mewah.

Kerajaan Bahamas, negara yang mempunyai lebih 700 pulau di mana pelancongan ialah industri terbesarnya, memohon maaf dan membantu membawa keluar pengunjung – tetapi menegaskan ia tidak terlibat secara langsung dengan festival itu. – AFP, 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen