Sudah ada konsensus, tunggu masa Anwar jadi PM, kata Azmin


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden PH Mohamed Azmin Ali hadir dalam program tahlil di Masjid Bagan Pinang, Port Dickson, malam tadi bersama barisan pimpinan PH yang menyertai kempen Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Oktober, 2018.

NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH) Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul persoalan berkenaan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana konsensus parti sudah menetapkan perkara itu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata hanya tempoh masa yang masih belum diputuskan kerana ia memerlukan perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH.

“Konsensus sudah ada, konsensus PH pada satu tempoh yang sesuai Anwar akan ambil kepimpinan negara, cuma masa yang sesuai itu saya kira PH akan bincang secara muafakat.

“Itu memang amalan dalam Majlis Presiden PH, isu negara dan kepimpinan sering dibawa dan dibincangkan, yang penting konsensus dimuktamadkan, cuma tempohnya akan bincangkan,” kata Azmin ketika ditemui selepas program tahlil di Masjid Bagan Pinang, Port Dickson, malam tadi.

Terdapat beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan perkara itu, kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson diadakan untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen bagi persediaan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di program sama turut memberi jaminan Anwar akan dilantik untuk jawatan itu.

Muhyiddin berkata apabila tiba masanya, Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri.

“Antara lain kita putuskan dalam muafakat PH selepas Dr Mahathir bersama Dr Wan Azizah (Wan Ismail) sebagai timbalan perdana menteri menerajui negara pada hari ini.

“Akan sampai satu peringkat sesuai dan berpatutan selepas bermesyuarat maka Anwar akan ambil alih jawatan di Malaysia ini sebagai perdana menteri kelapan,” katanya, dalam kemunculan pertama selepas berehat selama tiga bulan.

Dr Mahathir pada September turut memberi jaminan akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Beliau bagaimanapun meminta masa selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu.

Sepanjang tempoh kempen di PRK Parlimen Port Dickson, Anwar berkata Dr Mahathir perlu diberikan sokongan sebagai perdana menteri dan penyertaannya ke dalam Parlimen adalah untuk menambah baik sistem Parlimen. – 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen