PENDAKWA raya Bosnia semalam mendakwa 17 orang termasuk jeneral bersara Bosnia atas tuduhan jenayah perang terhadap ratusan orang, kebanyakannya etnik Serbia, ketika konflik 1990-an di negara itu.
Jeneral bersara Atif Dudakovic dan 16 yang lain didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk “pembunuhan lebih 300 etnik Serbia” dan penganiayaan terhadap orang awam dan tahaan perang, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Pendakwa Bosnia.
Semua suspek ialah anggota tentera kebanyakannya warga Bosnia beragama Islam, yang di bawah pimpinan Dudakovic.
Unit itu beroperasi di barat Bosnia, satu wilayah yang dikepung sepenuhnya oleh tentera Serbia dari Croatia dan Bosnia.
Mangsa etnik Serbia terbabit kebanyakannya warga emas, selain tahanan perang yang sama ada menyerah diri atau ditahan, kata kenyataan itu.
Semua 17 suspek juga didakwa kerana memusnahkan 38 gereja ortodoks.
Pendakwaan terhadap Dudakovic, 64, turut merujuk kepada jenayah terhadap masyarakat Islam Bosnia di wilayah Bihac dan Cazin, kata pendakwa raya.
Walaupun perang Bosnia 1992-1995 berlaku antara tiga masyarakat etnik utama – Croatia, Muslim dan Serbia – di wilayah ini, Muslim Bosnia juga bertelagah sesama mereka.
Komander tentera Bosnia jarang sekali dibicarakan kerana jenayah perang.
Dua ketua staf, Jeneral Rasim Delic dan Sefer Halilovic, pernah dibicarakan di tribunal PBB di The Hague.
Delic dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah antarabangsa pada 2008 tetapi meninggal dunia ketika menunggu keputusan rayuan.
Halilovic dibebaskan pada 2005.
Komander perang Srebrenica, Naser Oric dibicarakan semula atas tuduhan jenayah perang. Oric dibebaskan tahun lalu oleh mahkamah Sarajevo kerana membunuh tiga banduan Serbia pada permulaan perang.
Perang Bosnia 1992-1995 mengorbankan kira-kira 100,000 nyawa. – AFP, 12 Oktober, 2018.
Komen