Turki, AS desak Riyadh jawab kehilangan wartawan


Wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi sering menulis artikel mengkritik Putera Mahkota Mohammed bin Salman. – Gambar fail AFP, 12 Oktober, 2018.

TURKI dan Amerika Syarikat (AS) semalam bersama-sama memberi tekanan kepada Arab Saudi supaya memberi penjelasan bagaimana seorang wartawan boleh hilang selepas memasuki konsulatnya di Istanbul minggu lalu.

Presiden Donald Trump semakin mendesak jawapan dari Arab Saudi tetapi pada masa sama meminta kongres AS menunjukkan sikap mahu menyelesaikan isu itu dengan baik, berkata beliau tidak mahu menjejaskan jualan senjata kepada sekutu rapat.

Jamal Khashoggi, seorang warganegara Arab Saudi yang menulis artikel mengkritik Putera Mahkota Mohammed bin Salman, tidak ditemui sejak 2 Oktober ketika dia masuk ke konsulat di Istanbul bagi mendapatkan dokumen rasmi untuk perkahwinannya.

Pegawai Turki berkata Jamal dibunuh – dilaporkan oleh 15 lelaki “pasukan pembunuh upahan” yang tiba dengan dua pesawat – tetapi Riyadh bertegas mengatakan Jamal keluar dari konsulat dengan selamat.

Presiden Recep Tayyip Erdogan, dalam kenyataannya tentang Jamal, mencabar Arab Saudi memberikan imej CCTV untuk membuktikan Jamal selama.

“Mungkinkah tidak ada sistem kamera di konsulat, di sebuah kedutaan?,” soalnya.

Konsulat berkata kamera CCTV rosak pada hari berkenaan dan menolak dakwaan bunuh dengan menganggapnya sebagai tidak berasas. – AFP, 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen