BILIONAIR termuda Afrika diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah gimnasium di ibu negara Tanzania, Dar es Salaam, hari ini.
Mohammed Dewji, 43, yang mengetuai syarikat MeTL Group yang beroperasi di 10 negara dengan perniagaan pertanian, insurans, pengangkutan, logistik dan industri pemakanan, diculik ketika beliau memasuki gim tersebut di sebuah hotel di bandar berkenaan.
“Maklumat awal mendapati beliau diculik oleh sekumpulan lelaki berkulit putih yang menaiki dua buah kenderaan,” kata Gabenor Dar es Salaam Paul Makonda kepada media.
Katanya, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku di bandar tersebut, apatah lagi melibatkan seorang jutawan.
Ketua Polis Dar es Salaam Lazaro Mambosasa tidak menolak kemungkinan pembabitan penjenayah asing dalam kejadian itu.
Katanya kumpulan penculik itu melepaskan tembakan ke udara sebelum menyumbat Dewji ke dalam kereta mereka.
“Tiga suspek ditahan setakat ini tetapi kita tidak boleh mendedahkan identiti mereka buat masa ini,” katanya.
Dewji lahir di Tanzania dan merupakan pelajar lepasan Universiti Georgetown di Amerika Syarikat.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen pada 2005 hingga 2015.
Pada 2013, beliau menjadi rakyat Tanzania pertama terpampang di muka depan majalah Forbes.
Menurut majalah itu, Dewji yang mempunyai tiga orang anak, merupakan individu ke-17 terkaya di benua Afrika dengan memiliki kekayaan sebanyak 1.5 bilion (RM6 bilion). – AFP, 11 Oktober, 2018.
Komen