Pelajar AS cabar larangan kemasukan ke Israel


Lara Alqaseem mencabar undang-undang Israel yang melarang kemasukan penyokong pro-Palestin. – AFP, 11 Oktober, 2018.

SEORANG pelajar Amerika Syarikat (AS) hadir ke mahkamah hari ini bagi mencabar tindakan Israel melarangnya memasuki wilayah jajahan rejim itu.

Lara Alqasem, 22, tiba di lapangan terbang Ben-Gurion pada 2 Oktober lalu untuk menyambung pengajian di Universiti Hebrew di Baitulmaqdis tetapi tidak dibenarkan memasuki Israel walaupun memiliki visa.

Pihak keselamatan Israel melarangnya memasuki wilayah tersebut dengan dakwaan Lara menyokong kempen boikot yang dilancarkan oleh kumpulan pro-Palestin.

Wanita itu ditahan di pusat imigresen Israel dan mengambil keputusan untuk tidak pulang ke AS, sebaliknya mencabar larangan tersebut di mahkamah Israel.

Peguamnya mempertahankan tindakan Lara pada sesi pendengaran di mahkamah daerah Tel Aviv dengan menyatakan Israel tidak mempunyai alasan kukuh melarang wanita itu memasuki Israel.

“Lara menerima tawaran daripada pihak universiti dan kementerian dalam negeri mengeluarkan visa,” kata peguamnya, Yotam Ben Hilel.

“Kini dia dilarang memasuki Israel semata-mata maklumat daripada Google yang menyatakan dia mempunyai kaitan dengan pertubuhan tertentu.”

Pendengaran kes itu ditangguhkan apabila hakim memaklumkan akan memberitahu keputusan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Pihak berkuasa Israel dikritik teruk sejak akhir-akhir ini apabila menyoal siasat pelancong asing yang mahu memasuki wilayah jajahannya.

Pada Mac 2017, Parlimen Israel meluluskan undang-undang untuk mengharapkan kemasukan penyokong pergerakan pro-Palestin, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS). – AFP, 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen