8 kanak-kanak Pakistan maut dihempap dinding rumah


Penduduk melihat keadaan dinding rumah yang runtuh sehingga mengorbankan lapan kanak-kanak di wilayah Sindh, Pakistan. – Gambar Samaa TV, 11 Oktober, 2018.

SEKURANG-kurangnya lapan kanak-kanak maut manakala empat lagi cedera pada Khamis selepas dinding sebuah rumah tumbang dan menimpa mereka di wilayah Sindh yang terletak di selatan Pakistan, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, kesemua mereka berusia bawah 12 tahun.

Kesemua mangsa diisytiharkan meninggal dunia semasa tiba di sebuah hospital berhampiran. 

Mangsa yang cedera di bahagian kepala dan tubuh dirawat di hospital sama.  

Menurut laporan, kesemua kanak-kanak sedang bermain di kawasan berhampiran dinding itu apabila ia tumbang dan menimpa mereka di sebuah kampung dalam daerah Sukkur.

Penduduk tempatan memulakan kerja-kerja menyelamat memandangkan kawasan itu tidak mempunyai perkhidmatan tersebut secara rasmi mahupun swasta.

Dipercayai dinding itu, yang mempunyai struktur binaan tidak kukuh, tumbang selepas beberapa orang daripada kanak-kanak terbabit cuba memanjatnya. – Bernama, 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen