TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak James Masing menyelar komposisi jawatankuasa khas Kabinet untuk meneliti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disifatkan sebagai ‘berat ke arah Malaya’.
Katanya sembilan daripada 16 ahli jawatankuasa itu dari Malaya (Semenanjung Malaysia) dan hanya tujuh dari Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata komposisi jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, perlu melibatkan lima daripada setiap tiga wilayah iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak, bagi mencerminkan kedudukan mereka sebagai rakan sekutu dalam persekutuan.
“Jumlah wakil yang adil jika kami mempunyai status sama rata.”
Tujuh wakil tersebut merupakan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah Shafie Afdal; Menteri Kerja Raya Baru Bian (Sarawak); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking (Sabah); Ketua Peguam Sabah Zaleha Rose Pandin; Ketua Peguam Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah.
Masing berkata walaupun perbincangan secara serius belum bermula, Sabah dan Sarawak ‘berasa tertipu dengan peranan mereka dalam rundingan MA63’.
“Mereka tidak memberi kelebihan kepada kita dari segi jumlah ahli.
“Mereka fikir mereka lebih bijak dengan memiliki lebih ramai ahli?”
Masing turut menuduh kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai kejujuran dalam memberi status sama rata dalam persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.
Malah beliau mencadangkan Sabah dan Sarawak agar memboikot jawatankuasa itu ekoran layanan yang tidak adil.
“Jika tiada kejujuran, tidak perlu ada rundingan dengan Malaya berhubung MA63.
“Pada pendapat saya, Sarawak dan Sabah tidak perlu terlibat dalam rundingan itu.
“Kenapa perlu berbuat demikian apabila Malaya tidak jujur dengan niat mereka untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai sebahagian Persekutuan Malaysia.”
Lapan ahli jawatankuasa dari Malaya merupakan Menteri kewangan Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar; Peguam Negara Tommy Thomas dan pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Shad Saleem Faruqi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dalam tempoh sebulan di Putrajaya bagi membincangkan hala tuju MA63. – 11 Oktober, 2018.
Komen