KERAJAAN Jepun hari ini mengatakan yang mereka tidak “akan boleh bertolak ansur” dengan provokasi Korea Utara selepas tentera negara itu mengatakan ia sudah memuktamadkan rancangan pelancaran peluru berpandu ke arah Guam yang akan melintasi Jepun.
“Tindakan provokasi Korea Utara, termasuk kali ini, sangat jelas adalah provokasi kepada rantau ini, termasuk Jepun, serta ancaman kepada keselamatan masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap kerajaan Jepun Yoshihide Suga kepada wartawan.
“Kami tidak boleh bertolak ansur dengan perkara ini.”
Japan pernah berikrar akan menembak jatuh peluru berpandu atau roket Korea Utara yang mengancam negaranya, walaupun Suga enggan menjelaskan strategi negara itu kali ini.
Tetapi , Pasukan Pertahanan Jepun berkata ia akan “mengambil tindakan bersesuaian”, katanya.
“Sangat penting untuk mengekalkan Amerika Syarikat selaku kuasa pencegah kerana situasi keselamatan di rantau ini sangat rapuh.
“Presiden (Donald) Trump berkata semua pilihan tersedia dan kerajaan mengalukan dasar itu.”
Katanya lagi Jepun dan AS “mengadakan perbincangan” dan menteri luar dan pertahanan kedua-dua buah negara akan mengadakan pertemuan pada 17 Ogos. – AFP,10 Ogos, 2017.
Komen