Bangladesh batal cuti hujung minggu, penjawat awam susulan amaran siklon


Walaupun siklon Titli mendarat di timur India, daerah pesisir di Bangladesh serta beberapa bahagian di negara itu termasuk Dhaka, masih mengalami hujan lebat dan angin kencang. – Gambar AFP, 11 Oktober, 2018.

SEBAGAI sebahagian daripada persediaan berdepan siklon Titli, kerajaan Bangladesh pada Khamis membatalkan cuti hujung minggu dan percutian semua penjawat awam negara itu di daerah pesisir, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan, Mofazzal Hossain Chowdhury Maya, memaklumkan pemberita langkah-langkah mencukupi diambil untuk menangani sebarang kesan siklon di daerah pesisir terbabit.

Meskipun Titli mendarat di negeri Odishar di timur India, daerah pesisir di Bangladesh serta beberapa bahagian di negara itu termasuk ibu negara Dhaka, masih mengalami hujan lebat dan angin kencang.

Buletin Jabatan Meteorologi Bangladesh yang dikeluarkan pada Khamis menyebut ribut siklon kuat itu bergerak ke arah barat laut dan menyeberangi pantai Odisha-Andhra di India berhampiran Gopalpur pada pagi Khamis. – Bernama, 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen