29 pendatang lemas dipaksa terjun bot di perairan Yaman


PENYELUDUP memaksa lebih 120 pendatang Somalia dan Etiopia terjun ke dalam laut bergelora di Yaman semalam, menyebabkan 29 maut dan 22 lagi hilang, kata Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM).

Ia berkata menemui perkuburan cetek 29 pendatang di pantai di wilayah selatan Shabwa selepas dikebumikan oleh mangsa yang terselamat.

“Para penyeludup sengaja menolak semua pendatang ke dalam laut kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa sebaik sahaja mereka sampai di pantai,” kata pegawai kecemasan IOM di Aden kepada AFP.

Mereka kemudiannya “kembali ke tempat asal untuk mendapatkan lebih ramai pendatang dan cuba menyeludup mereka ke Yaman, sekali lagi”.

IOM berkata kira-kira 55,000 pendatang dari timur utara Africa menuju Yaman sejak awal tahun ini, dengan tujuan utama mencari pekerjaan di negara Teluk.

Perjalanan ketika ini amat berbahaya disebabkan angin kencang di Lautan Hindi.

Pegawai IOM berkata terdapat “ramai wanita dan kanak-kanak mati dan yang masih hilang”.

Menurut kenyataan IOM, kakitangannya menyediakan keperluan segera bagi pendatang yang tinggal di kawasan pantai.

Ia menganggarkan purata umur pendatang di atas bot sekitar 16 tahun.

Mereka yang selamat berkata kepada IOM, seorang penyeludup menolak mereka ke dalam laut selepas melihat individu seperti pihak berkuasa, kata ketua misi Yaman, Laurent de Boeck.

“Mereka juga memberitahu kami penyeludup kembali ke Somalia untuk meneruskan kegiatan  dan mengambil lebih ramai pendatang untuk dibawa ke Yaman melalui laluan yang sama.

“Ini mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan.” – AFP, 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen