Pengundi perlu tolak Anwar, Isa Samad, kata Ezam


Mohd Farhan Darwis

Mohamad Ezam Mohd Nor mahu pengundi Port Dickson memilih calon bebas lain berbanding Anwar Ibrahim dan Isa Samad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

PENGERUSI Persatuan Hisbah Malaysia (Hisbah) Mohamad Ezam Mohd Nor menyeru pengundi Parlimen Port Dickson untuk memilih calon bebas dan menolak Anwar Ibrahim serta Isa Samad.

Ezam berkata, Anwar yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) tidak wajar diberikan undi kerana beliau secara jelas menyalahgunakan pengaruh dan kedudukan beliau sebagai pemimpin parti.

Katanya, Anwar juga dipercayai mempengaruhi dan berkemungkinan memaksa Ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah untuk mengosongkan kerusi itu.

“Tindakan Anwar ini menyebabkan sejumlah wang negara terpaksa digunakan hanya untuk melaksanakan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sama sekali tidak ada keperluan untuk diadakan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta untuk melaksanakan PRK Parlimen Port Dickson.

Tambah bekas pembantu Anwar itu, alasan untuk menjadi perdana menteri kelapan adalah dangkal malah amat tidak relevan buat masa ini.

Ini kerana katanya, perdana menteri ketika ini (Dr Mahathir Mohamad) masih belum memulakan proses pengunduran secara rasmi dan tertib serta perlu mematuhi proses undang-undang dan perlembagaan negara selayaknya sebagai memegang jawatan tertinggi negara.

Anwar Ibrahim didakwa mengguna kedudukan dan pengaruhnya untuk bertanding di Parlimen Port Dickson bagi membolehkan beliau kembali ke Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

“Hisbah juga memutuskan pengundi Port Dickson tidak perlu memberikan undi kepada bekas menteri besar Negei Sembilan Isa Samad kerana beliau pernah disabitkan dan dihukum atas kesalahan politik wang.

“Beliau juga semasa menjadi pengerusi Felda menghadapi pelbagai dakwaan berkaitan salah laku urus tadbir yang belum dituntaskan secara pasti dan rasmi sehingga hari ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pengundi Port Dickson bebas memilih calon lain yang bertanding atas tiket bebas kerana mereka tidak melanggar prinsip kepimpinan.

“Pada hemat Hisbah, pengundi Port Dickson bebas mengundi calon-calon lain kerana mereka tidak didapati melanggar prinsip-prinsip penting dari sudut urustadbir negara yang juga digariskan Hisbah di dalam persoalan kepimpinan,” katanya.

Penganalisis melihat Anwar mampu memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dan Isa dijangka memberikan persaingan sengit kepadanya.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menjangkakan Anwar akan memperolehi 74% undi, manakala Isa dijangka mampu memperolehi 10% undi, daripada 75,770 pengundi Port Dickson.

Manakala calon bebas dalam pertandingan tujuh penjuru itu, Stevie Cha Keng Leong, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen, masing-masing hanya memperolehi 1% undi.

Calon bebas Saiful Bukhari Azlan yang juga bekas pembantu peribadi Anwar terkait kes liwat II, dijangkakan bakal hilang deposit dengan memperolehi kurang 1% undi. – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen