SABAH dan Sarawak tidak akan berselisih pendapat terhadap tuntutan mereka untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipatuhi dan mendapatkan royalti minyak serta gas sebanyak 20%, kata ketua menteri kedua-dua negeri itu.
“Kami di pihak yang sama walaupun tidak berbincang perkara tersebut secara terperinci,” kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg selepas bertemu rakan sejawatnya dari Sabah, Shafie Apdal di pejabat beliau di Kuching.
“Anda boleh memastikan kami di pihak yang sama kerana tuntutan terhadap perjanjian itu dibuat oleh kedua-dua negeri.
“Kepentingan kami adalah sama,” kata Shafie.
Katanya bagi mencapai tujuan tersebut, Sabah dan Sarawak perlu bersatu dalam memastikan tuntutan mereka disuarakan secara senada dan tidak berselisih pendapat.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilapor sedia membentangkan usul bagi meminda beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibangkitkan oleh kedua-dua negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong pada Isnin berkata pindaan Artikel 1 (2) Perlembagaan yang menurunkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu di Malaysia untuk menjadi satu daripada 13 negeri, akan dilaksanakan pada sesi Parlimen minggu depan.

Abang Johari bahagiamanapun berkata pindaan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya melibatkan Artikel 1 (2).
Beliau turut membangkitkan pertikaian tentang pembentukan jawatankuasa khas Kabinet untuk meneliti perkara itu dan tidak mematuhi perjanjian MA63.
Katanya jawatankuasa yang dibentuk sepatutnya mengikuti model yang digariskan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang ditubuhkan oleh kerajaan British pada 1961 bagi meneliti pembentukan Malaysia.
Liew berkata beliau sedia berbincang dengan Abang Johari berhubung perkara tersebut. – 11 Oktober, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen