INDONESIA hari ini menamatkan misi pencarian mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi.
Keputusan itu dibuat selepas tiada lagi harapan untuk menemukan kira-kira 5,000 mangsa yang tertimbus sejak hampir dua minggu lalu.
Palu dilanda gempa berukuran 7.5 skala Richter dan dibadai tsunami pada 28 September lalu.
Kira-kira 2,073 mayat ditemukan setakat ini susulan dua bencana berkembar itu.
Pasukan penyelamat sukar mencari mangsa di bawah timbunan runtuhan ekoran keadaan lumpur yang semakin mengeras dan mayat mula membusuk akibat cuaca panas.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan tengah hari Khamis,” kata pengarah operasi di Palu, Bambang Suryo.
“Keputusan ini mengambil kira situasi di lokasi bencana dan keselamatan serta tahap kesihatan anggota penyelamat,” katanya.
Bagaimanapun pasukan penyelamat akan kekal di Palu dalam keadaan bersedian untuk menghulurkan bantuan sehingga 26 Oktober. – AFP, 11 Oktober, 2018.
Komen