Perkhidmatan kereta api laju Arab Saudi mula beroperasi


Perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan Mekah dan Medinah mula dibuka kepada orang ramai yang akan menjimatkan perjalanan antara ke dua lokasi selama beberapa jam. – Gambar AFP, 11 Oktober, 2018.

KERETA API berkelajuan tinggi baharu Arab Saudi mula dibuka kepada orang ramai pada Khamis, mempercepatkan perjalanan jemaah haji dan pelancong lain antara Mekah dan Madinah, bandar suci umat Islam.

Sistem Rel Berkelajuan Tinggi Haramain akan mengangkut penumpang sejauh 450 kilometer (280 batu) melalui pelabuhan Laut Merah di Jeddah dengan kelajuan sehingga 300 kilometer sejam.

Dua kereta api, yang setiap satunya mampu menampung seramai 417 penumpang, berlepas dari Mekah dan Madinah pada pukul 8 pagi (0500 GMT), menurut agensi Agensi Media Arab yang dikendalikan oleh kerajaan.

Dua perkhidmatan dalam sehari dirancang bagi kedua-dua arah perjalanan, katanya.

Raja Salman pada 25 Oktober melancarkan kereta api berkelajuan tinggi, yang digambarkan oleh pihak kerajaan sebagai projek pengangkutan terbesar di rantau ini.

Perkhidmatan baharu ini akan mengurangkan masa perjalanan antara Mekah dan Madinah daripada tempoh beberapa jam kepada 120 minit, kata pegawai pengangkutan.

Projek landasan kereta api dibina dengan kos lebih A$16 bilion, menurut media Arab Saudi.

Pada 2011, Arab Saudi menandatangani perjanjian dengan konsortium Sepanyol untuk membina landasan, membekalkan 35 buah kereta api berkelajuan tinggi dan mengendalikan kontrak penyelenggaraan selama 12 tahun.

Kerajaan meningkatkan perbelanjaan infrastrukturnya dan memperluas landasan, termasuk  sistem metro bernilai AS$22.5 bilion yang sedang dibangunkan di ibukota Riyadh, bagi mempelbagaikan ekonomi yang bergantung kepada hasil minyak.

Ibadah haji tahunan yang akan diadakan pada September tahun depan, menarik lebih 2 juta umat Islam dari seluruh dunia datang ke Mekah. – AFP, 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen