DUA rakyat Vietnam diberkas di utara Thailand pada Khamis kerana disyaki cuba menyeludup keluar bangkai harimau ke Vietnam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.
Polis mengenal pasti kedua-dua lelaki sebagai Le Binh, 40, dan Nguyen Van Tung, 29.
Mereka didakwa menyeludup bangkai haiwan liar yang dilindungi itu di sebuah stesen bas dalam wilayah Phitsanulok, kira-kira 425 kilometer di utara Bangkok, menurut timbalan superintenden polis Leftenan Kolonel Nonthaworn See-indra.
Kedua-dua suspek menaiki bas pesiaran dari wilayah timur laut Tak menuju ke wilayah Mukdahan pada awal pagi Khamis dan menyembunyikan bangkai harimau terbabit dalam beberapa beg yang ditemui di bahagian muatan kargo kenderaan.
Menurut Nonthaworn, kedua-dua rakyat Vietnam itu mengaku mereka telah dijadual melakukan perjalanan dari Mukdahan ke negara asal menerusi Laos dengan membawa bangkai harimau itu yang dibeli daripada seorang rakan senegara di Tak pada harga 30,000 baht (kira-kira AS$909). – Bernama, 11 Oktober, 2018.
Komen